Tiada siapa yang akan terlepas dari undang-undang, termasuklah individu yang berjawatan tinggi dalam badan kerajaan.
Menurut The Sun Daily, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusof Ayob telah didenda kerana memandu di laluan kecemasan.
Datuk Yusoff telah ditahan memandu keretanya di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya pada 7 Oktober tahun lalu.
Beliau telah didenda sebanyak RM600 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya semalam selepas mengaku bersalah. Yusoff selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun tidak menghadirkan diri dan hanya mewakilkan pegawai khasnya, Tengku Dahari.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab. Rahman turut memerintahkan OKS untuk menjalani tambahan hukuman penjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kesalahan memandu di lorong kecemasan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Malangnya, budaya memandu di lorong kecemasan seperti perkara yang tidak dapat dibendung, meskipun sudah meletakkan harga denda yang tinggi.
Pada 22 Mei lalu, 20 pemandu telah didenda kerana menyekat laluan kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan. Tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu telah menghalang pasukan kecemasan dan menyebabkan kematian dua penunggang motorsikal yang terlibat dalam kemalangan.
Kesemua pemandu mengaku bersalah dan didenda antara RM1000 hingga RM2000.
Meskipun begitu, masih ramai pemandu tidak mengambil iktibar daripada kes tersebut dan memandu di lorong kecemasan tanpa rasa bersalah.
Netizen rata-rata mempertikaikan denda yang dikenakan terhadap Yusoff dan menganggap beliau seharusnya dikenakan denda yang lebih daripada itu.
Seorang netizen berkata, “Dia tahu peraturan tetapi dia tunjukkan contoh yang tidak baik. Penalti seharusnya RM2,000, bukan RM600.”
“Kes naik mahkamah dan dia dikenakan denda adalah satu permulaan yang baik (peringatan) tetapi denda yang dikenakan sepatutnya lebih tinggi memandangkan dia adalah pegawai kanan di JPJ,” komen seorang lagi.
Marilah kita jadi pengguna jalan raya yang mematuhi undang-undang dan biarkan lorong kecemasan kosong untuk ambulan atau mana-mana servis bantuan kecemasan untuk lalu.