Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini bukan sahaja melanda di beberapa negeri di sini, tetapi turut membadai di negara tetangga kita iaitu di wilayah Aceh, Indonesia.
Wilayah itu dilanda Badai Senyar sejak 22 November sehingga mengakibatkan banjir lumpur dan tanah runtuh di pelbagai kawasan.
Setakat ini, media melaporkan Aceh mencatatkan 47 kematian, 19 orang hilang, manakala puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan bagi mengelakkan risiko keselamatan akibat bencana.
Artikel berkaitan: Pertama Kali Dalam 2 Dekad, Ini Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Ribut Tropika Senyar
Artikel berkaitan: Banyak Pokok Tumbang, Ombak Tinggi, Ribut Senyar ‘Serang’ Port Dickson
Malaysia hantar bantuan perubatan berskala besar
Sabtu lalu, Malaysia telah menghantar bantuan perubatan berskala besar bersama sekumpulan doktor sebagai bentuk solidariti terhadap mangsa banjir di Aceh.
Bantuan tersebut merangkumi dua juta unit ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan jumlah berat kira-kira dua tan dihantar menggunakan pesawat kargo khas dari Kuala Lumpur selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Blangbintang, Aceh Besar.
Penghantaran ubat-ubatan dan peralatan perubatan itu disalurkan oleh Gomez Medical Services bersama pasukan kemanusiaan Blue Sky Rescue Malaysia.
“Ubat-ubatan ini sumbangan rakyat Malaysia, ini bantuan kepada kita,” ujar Gabenor Aceh, Muzakir Manaf.

Warga Indonesia ucap terima kasih
Menerusi ruangan komen media sosial portal Indonesia, rata-rata warganya berasa terharu dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan Malaysia.
Mereka memuji kepantasan Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat Aceh yang sedang menempuhi waktu sukar ketika ini.

Sumber: Instagram, Sinar Harian
