Bukan sekadar pertandingan teknologi, ASEAN GeoAI Fusion 2026 berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh ASEAN untuk mencipta penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan data geospatial.
Program yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu mencatatkan 1,112 peserta dari 11 Negara Anggota ASEAN.
Lebih menarik, jumlah itu mencapai 370 peratus daripada sasaran asal 300 peserta.
17 Pasukan Mara Ke Peringkat Akhir

Daripada 138 pasukan yang mendaftar untuk laluan hackathon, hanya 17 pasukan dari lapan negara ASEAN berjaya mara ke Hackathon Fizikal di Kuala Lumpur.
Peserta kemudiannya membangunkan prototaip GeoAI berdasarkan lima tema iaitu Efficiency, Innovation, Connectivity, Sustainability dan Security.
Antara cabaran yang diketengahkan termasuk perancangan liputan rangkaian, ketahanan bencana, keselamatan siber dan kelestarian infrastruktur.
ASEAN Mempunyai Bakat, Kreativiti Dan Keupayaan Teknologi

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata program tersebut membuktikan ASEAN mempunyai bakat dan keupayaan teknologi untuk membentuk masa depan digitalnya sendiri.
“Program ini telah membuktikan bahawa ASEAN mempunyai bakat, kreativiti dan keupayaan teknologi yang diperlukan untuk membentuk masa depan digitalnya sendiri.”
Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti inovator juga penting dalam membangunkan teknologi serta mengukuhkan kerjasama serantau.
72% Peserta Adalah Pelajar
Program itu turut menyaksikan 72 peratus peserta terdiri daripada pelajar, selain penglibatan badan pengawal selia, industri, agensi kerajaan dan penyelidik.
Bukan itu sahaja, hadiah keseluruhan bernilai USD15,000 turut dipertandingkan menerusi sembilan kategori utama, selain enam Anugerah Khas ASEAN.
Namun bagi Teo, nilai program ini bukan sekadar hadiah yang ditawarkan.
“Nilai sebenar program ini bukan terletak pada jumlah hadiah, sebaliknya pada keupayaan baharu yang dibawa pulang oleh setiap peserta ke negara masing-masing.”
Hasil Hackathon Tak Berakhir Di Sini
Menariknya, prototaip yang dihasilkan peserta tidak akan berhenti setakat pertandingan.
Kesemua hasil program akan didokumentasikan menerusi ASEAN GeoAI Knowledge Hub selama setahun selepas program bagi memastikan ilmu dan penyelesaian yang dibangunkan terus memberi manfaat kepada rantau ASEAN.
Teo berkata Kementerian Komunikasi bersama MCMC akan terus memperkasa bakat teknologi, menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab dan mengukuhkan kerjasama digital serantau.
“Aspirasi kita adalah untuk memastikan ASEAN bukan sekadar mengikuti gelombang transformasi digital global, tetapi menjadi rantau yang memimpin inovasi, membangunkan penyelesaian sendiri, dan menghasilkan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat.”
