Usahawan dan personaliti media sosial terkenal, Cik Epal sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas tampil menjelaskan sebab utama beliau enggan memisahkan dua anak kesayangannya, Han dan Yuki, berhubung isu hak penjagaan.
Menerusi hantaran terbaharu di platform Threads, Cik Epal mendedahkan bahawa pada awalnya beliau bercadang untuk mengambil hak penjagaan anak bongsunya, Yuki sahaja.
Walau bagaimanapun, keputusan itu dinilai semula selepas mengambil kira keinginan serta hubungan rapat antara kedua-dua anaknya itu.
Artikel berkaitan: “Anak bukan barang dagangan!” – Berang Didakwa Tewas, Cik Epal Buka Mulut Isu Hadanah Han & Yuki
Artikel berkaitan: Ada Terima DM Minta Tips, Cik Epal Titip Pesanan Buat Wanita Yang Baru Bercerai
View on Threads
Yuki Luah Keinginan Sekeluarga Macam Dulu
Menurut Cik Epal, anak sulungnya, Han, sejak dari awal lagi memilih untuk tinggal bersama bekas suaminya. Namun, situasi berbeza buat Yuki yang masih mendahagakan kemesraan sebuah keluarga lengkap.
“Bila tanya Yuki, dia pulak nak lagi ada *family* macam dulu dan masih nak *request* mama dan papa pergi makan sama-sama dengan dia.
Han dan Yuki pon rapat. Aku pon tak nak la pisahkan. Kalau aku ambil Yuki je, nanti akan ada cerita lain pula. Kesian anak-anak,” tulisnya.
Menjelaskan lebih lanjut, Cik Epal menegaskan bahawa isu hak penjagaan ini bukanlah satu pertandingan untuk menentukan siapa yang berhak atau menang, sebaliknya adalah demi mengurangkan penderitaan emosi yang perlu ditanggung oleh anak-anak.
“Hilang mak ayah pon dah cukup sakit untuk seorang anak. Kalau dalam masa yang sama kena asingkan adik-beradik yang selama ni membesar bersama, aku rasa sakit tu akan jadi lebih berat.
Aku cuma cuba fikir apa yang paling kurang menyakitkan untuk anak-anak. Bukan soal siapa dapat siapa. Bukan soal aku nak atau tak nak. Aku cuma tak sanggup buat keputusan yang akhirnya buat Han & Yuki lebih terluka,” tambahnya lagi.
Perkongsian tersentuh hati itu mendapat sokongan padu dan simpati daripada rata-rata pengikutnya yang memuji sikap matang serta keprihatinan beliau dalam menjaga kebajikan emosi anak-anak di tengah-tengah fasa perceraian.
Sumber: Threads
