Seorang tukang mesin rumput berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan termasuk mencabul jirannya yang sedang tidur.
Tertuduh, Muhammad Najib Iqbal Saleh membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada 16 September lalu, mangsa yang berusia 41 tahun sedang tidur di dalam biliknya di sebuah rumah di Pantai Puteri, Tanjung Kling, sebelum tersedar apabila mendapati tertuduh berada di atas katilnya.
Tertuduh kemudian bertindak mencabul mangsa sebelum wanita itu menjerit dan berlaku pergelutan.
Mangsa mendakwa tertuduh bertindak agresif dan enggan melepaskannya sehingga menyebabkan dia mengalami luka kecil di bahagian bawah bibir sebelah kanan.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Remaja 11 Tahun Dicabul ‘Mamat Topi Merah’ Dalam Lif, Masa Keluar Beli Ubat
Artikel berkaitan: Bapa Durjana! Rogol 5 Anak Sampai Lahirkan Bayi
Menurut fakta kes, mangsa mengesyaki tertuduh memasuki rumahnya melalui pintu yang tidak berkunci dan hanya disendal menggunakan tukul besi bagi membolehkan anaknya pulang lewat memasuki rumah.
Tertuduh yang didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatannya dihukum penjara lima bulan bermula dari tarikh tangkap.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan berkenaan, yang perlu dijalani selepas selesai hukuman bagi kesalahan mencabul. Tertuduh turut dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.
Sumber: Sinar Harian
