Rasuah ada di mana-mana! Kali ini pula melibatkan dua pengarah syarikat yang diamanahkan untuk melaksanakan 10 Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak.
Menurut Harian Metro, syarikat terbabit telah membina jalan menggunakan bahan berkualiti rendah, namun telah mengaut keuntungan mencecah RM800 juta! Uish banyak gila tu!
Difahamkan jalan raya yang dibina itu hanya diletakkan lapisan tar yang dianggarkan setebal 2 inci atas permukaan tanah tanpa lapisan batu kerikil dan pasir seperti yang termaktub dalam syarat kontrak.
Akibat perbuatan tersebut, jalan yang dibina mudah rosak ketika dilalui kenderaan berat termasuklah lori balak dan menyusahkan penduduk tempatan yang menggunakannya sebagai jalan penghubung ke kawasan pedalaman.
Menurut sumber, kedua-dua pengarah syarikat yang berusia 44 tahun itu adalah rakan kongsi yang mempunyai 3 syarikat yang memonopoli projek berkenaan. Mereka juga telah ditahan dalam satu operasi khas di Kuching, Sarawak semalam.
“Siasatan mendapati projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dinamakan Projek Jiwa Murni itu di bawah Kementerian Pertahanan dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak 2010 hingga 2016,” kata sumber.
Kini, Kerajaan Negeri Sarawak sudah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik.
“Ini menyebabkan kos bagi membaik pulih bertambah sekali ganda. Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.
“Selain itu perkara paling mengejutkan adalah mengenai pelantikan empat kontraktor baharu oleh JKR Negeri.
“Ini kerana salah satu syarikat yang mendapat projek menaik taraf dan membaikpulih jalan itu disyaki dimiliki oleh pengarah syarikat yang ditahan,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu. Siasatan kes itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan selepas laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek terbabit.
Kesian rakyat pakai jalan rosak setiap hari gara-gara geng suka ambil rasuah ni.