Peguam yang mewakili ibu kepada remaja 13 tahun yang terjatuh dari bangunan asrama, Zara Qairina Mahathir bimbang integriti siasatan terhadap kes ini mungkin boleh terjejas.
Ia susulan dengan penyebaran yang dikatakan ‘plot twist’ di beberapa platform media sosial yang memberi bayangan seolah-olah bahawa kematian Zara ini berpunca daripada kemurungannya akibat perbuatan ibunya sendiri. Dengan timbulnya spekulasi tersebut, ia berkemungkinan berlaku kebocoran daripada fail siasatan.
Artikel berkaitan : Dakwa Tak Ambil Pakaian Zara Sebagai Bukti, Peguam Labelkan Kertas Siastaan Diberikan Ke AGC Tidak Lengkap
Artikel berkaitan : Ibu Zara Qairina Percaya Kematian Anak Ada Unsur Jenayah – Peguam
Peguam yang dikenali sebagai Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa iaitu Noraidah Lamat mengatakan bahawa terdapat sekeping kertas yang digambarkan seperti ‘diari’ Zara telah menjadi sumber kepada naratif itu malah ia juga dilabelkan sebagai ‘bukti fizikal’.
“Jika kertas itu sememangnya sebahagian daripada barangan peribadi Zara yang diambil dari lokernya di asrama oleh pihak polis selepas kematiannya, ini bermakna seseorang membocorkan kandungan fail siasatan kepada umum untuk membina naratif jahat dan persepsi negatif terhadap Zara dan ibunya.”
Dalam masa yang sama, mereka turut menjelaskan bahawa anak guam mereka tidak mahu mencari ‘kemenangan’ dalam siasatan tersebut.
“Beliau hanya mahukan keadilan untuk anaknya, Zara. Beliau sentiasa bersedia membantu pihak polis dalam siasatan.”
“Oleh itu, hari ini, kami akan menyerahkan semua pakaian dan barangan peribadi Zara yang disebutkan di atas kepada polis. Pihak polis menghubungi kami semalam untuk tujuan ini.”
Kedua-dua peguam itu juga turut berterima kasih kepada semua individu dan pihak yang membantu untuk mengetengahkan kes ini untuk mendapatkan keadilan buat Zara.
Sebagai rujukan, Zara, pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama sebelum dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 11 pagi, 17 Julai lalu.
Insiden tersebut tular di media sosial susulan dakwaan bahawa kes buli itu membabitkan anak-anak menteri, anak orang kenamaan (VIP) dan individu berpengaruh, dan ia telah mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan orang ramai dalam talian.
Sumber : Harian Metro