Ramai tertanya-tanya mengenai ketiadaan penyanyi Hazama dalam senarai peserta Gegar Vaganza Fantasia (GVF), malah ada yang mula membuat pelbagai andaian termasuk mendakwa dia merajuk atau terikat dengan kontrak stesen penyiaran tertentu.
Bagaimanapun, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 42, menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan keputusan untuk tidak menyertai program itu sebenarnya disebabkan komitmen kerja yang sudah dipersetujui lebih awal.
Menurutnya, pihak produksi GVF sememangnya ada mengemukakan tawaran dan mengadakan perbincangan dengannya. Namun, jadual persembahan serta urusan kerja yang sudah diatur sepanjang penghujung tahun menyebabkan dia tidak dapat menerima pelawaan tersebut.
Katanya, ada antara komitmen itu membabitkan pelanggan yang sudah membuat bayaran, sekali gus membuatkan dia perlu menghormati persetujuan yang dicapai.
“Banyak kerja pada hujung tahun ini, malah ada yang sudah mengambil 100 peratus bayaran daripada pelanggan, manakala ada juga yang sudah menerima 50 peratus.
“Jadi, dari segi etika dan prinsip kerja, apabila sudah berjanji untuk memenuhi komitmen di satu tempat, saya perlu tunaikan janji itu,” katanya.

Artikel berkaitan: “Waktu itu pihak produksi tidak ambil bekas pelajar AF” – Farah Dah Pasang Niat Nak Masuk GV Sejak Musim Kedua
Artikel berkaitan: 9 Bekas Juara AF Ini Bakal Berentap Di Gegar Vaganza Bulan Depan!
Dalam pada itu, juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu turut menafikan dakwaan kononnya dia terikat dengan mana-mana stesen penyiaran sehingga tidak bebas muncul dalam program terbitan stesen televisyen lain.
Tegasnya, dia bebas menerima tawaran daripada mana-mana stesen TV dan tidak mempunyai sebarang sekatan untuk bekerjasama dengan pihak lain.
“Saya bebas dan tidak terikat dengan mana-mana stesen penyiaran. Tidak ada isu seperti itu. Saya boleh bekerja dengan mana-mana stesen TV.
“Kalau ada 10 stesen TV di Malaysia, saya boleh bekerja dengan kesemua 10 stesen itu. Saya seniman Malaysia yang berkhidmat untuk semua media massa,” jelasnya.
Sumber: Berita Harian
