Baru-baru ini, tular satu perkongsian menyentuh hati daripada bapa kepada pemuda autisme dikenali sebagai Adam, yang tampil menjawab dakwaan segelintir netizen yang menuduhnya mempergunakan anaknya demi mengejar likes, tontonan, dan wang ringgit.
Menerusi satu video berdurasi tiga minit itu, bapa kepada Adam yang berusia 25 tahun itu meluahkan isi hatinya secara jujur mengenai realiti sebenar kehidupan sebagai penjaga sepenuh masa kepada anak autisme berkenaan.
Artikel berkaitan : “Never entitled, but penat” – Edrie Hashim Terkilan, Dakwa Kesedaran Autisme Di Malaysia Masih Rendah
Artikel berkaitan : “Bukan jalan free masuk syurga” – Netizen Sebak Dengar Luahan Jujur Bapa Adam Jaga ‘Anak Istimewa’
“Media sosial bukanlah satu pilihan”

Jelasnya, sebagai ketua keluarga dan pencari nafkah utama, beliau perlu memikirkan soal kelangsungan hidup, komitmen yang perlu dibayar, serta masa depan anaknya yang bergantung sepenuhnya kepadanya.
“Sejujurnya, jika saya mempunyai lebih banyak pilihan, saya dengan senang hati akan keluar bekerja, membina perniagaan sendiri, dan merahsiakan kehidupan peribadi keluarga kami.”
“Saya tidak akan berasa perlu untuk berkongsi terlalu banyak kisah tentang Adam kepada dunia.”
Tambahnya lagi, platform media sosial menjadi satu-satunya jalan buatnya untuk menjana pendapatan sambil kekal berada di sisi Adam 24 jam sehari, 7 hari seminggu.
Malah, perkongsian tersebut turut membuka ruang untuk keluarga lain yang senasib saling berhubung dan memahami cabaran membesarkan anak istimewa.
Sangkal dakwaan eksploitasi anak
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dirinya sebagai seorang pejuang (advocate) mahupun pakar dalam bidang autisme, yang juga menjadi punca mengapa beliau jarang menerima jemputan untuk berucap mengenai topik berkenaan.
Sebaliknya, beliau hanya mahu berkongsi realiti kehidupan harian, suka duka, serta bagaimana keluarga mereka terus melangkah ke hadapan bersama Adam.
Meskipun mengakui mahu video-videonya mencapai tontonan ramai demi menyampaikan mesej dan membuka peluang pekerjaan, beliau menegaskan bahawa perkara itu sama sekali tidak bermaksud beliau mengeksploitasi darah dagingnya sendiri.
“Itu sangat menyakitkan”

Mengakui dirinya terbuka untuk ditegur soal privasi Adam dan maruah pihak terlibat, bapa ini bagaimanapun meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang terlalu cepat menjatuhkan hukum hanya berdasarkan beberapa klip video.
“Anda tidak perlu menyukai kandungan kami atau bersetuju dengan semua yang saya lakukan, tetapi melabelkan saya sebagai seorang bapa yang mengeksploitasi anak demi kepentingan diri sendiri, itu sangat menyakitkan.”
Mengakhiri perkongsiannya, beliau menyeru masyarakat agar lebih mengutamakan sifat empati dan kurang menghakimi golongan seperti Adam serta keluarga mereka.
Tegasnya, apabila kamera dimatikan atau sesuatu kolaborasi berakhir, tanggungjawabnya sebagai seorang bapa tidak pernah berhenti termasuklah membuat persiapan rapi untuk kelangsungan hidup Adam sekiranya beliau sudah tiada lagi di dunia ini kelak.
“Suatu hari nanti anda mungkin tidak lagi melihat Adam di akaun ini. Namun dia tetap memerlukan penjagaan, empati, dan kasih sayang. Ini bukanlah soal menuntut hak (entitlement). Ini adalah tujuan hidup saya sebagai seorang bapa.”
Sumber: Facebook
