Selepas pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali pada usia 100 tahun, satu rakaman lama Allahyarham bersama ibunya kembali ditemukan dan mencuri perhatian kerana memaparkan sisi peribadinya yang cukup santai dan bersahaja.
Antara detik yang paling mencuit hati dalam rakaman berkenaan ialah ungkapan, “Cik Mah bukan sombong, Mak!”, ketika Allahyarham berbual bersama ibunya.
Rakaman itu ditemukan semula oleh wartawan yang berpangkalan di United Kingdom, Zaharah Othman, ketika sedang mengemas dan menyusun semula bahan-bahan lama yang dikumpulkannya sepanjang bertahun-tahun.
Artikel berkaitan : “Mungkin ini persembahan terakhir bersama saya” – Siti Nurhaliza Kongsi ‘Bisikan’ Tun Hasmah Kepadanya
Artikel berkaitan : Bukan Sekadar Nama, MAHA Klinik Saksi Cinta Tun Dr Mahathir Kepada Tun Dr Hasmah
Ada cerita zaman ‘rempit’
Menurut Zaharah, usaha itu dilakukan selepas pemergian Datuk V.L. Kandan, seorang rakan yang banyak berkongsi cerita dengannya.
“Beberapa hari lalu, saya melakukan kerja-kerja mengemas. Ia dilakukan selepas pemergian menyedihkan Datuk V.L. Kandan, seorang rakan Kirkbyite yang telah berkongsi begitu banyak cerita dengan saya selama ini.”
Katanya, bahan berkaitan Allahyarham Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini tersimpan di pelbagai cakera keras, termasuk rakaman lawatan dan temu bual sejak 1987 dari London, Oxford, Cambridge, Budapest, Vienna serta Malaysia.

Sebahagian bahan bagaimanapun sudah tidak dapat diperoleh selepas beberapa cakera kerasnya terjatuh secara tidak sengaja, manakala sebahagian lagi masih tersimpan dalam pita Beta dan kaset MiniDV.
Zaharah kemudiannya mengumpulkan semua bahan berkaitan kedua-dua tokoh itu ke dalam satu ‘folder’. Tidak lama selepas itu, beliau dikejutkan pada jam 6 pagi dengan berita pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah menerusi Astro AWANI.

Zaharah berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika sambutan ulang tahun kelahiran bersama di London, iaitu ulang tahun ke-98 Allahyarham Tun Dr Hasmah dan ke-99 Tun Dr Mahathir.
Katanya, Astro AWANI ada menghubungi Zaharah untuk mengadakan temu bual secara langsung. Bagaimanapun, memandangkan keadaan masih berdukacita, beliau mengakui sukar untuk menyusun kata-kata ketika ditemu bual.

Apabila fikirannya kembali tenang, Zaharah mula membuka semula ‘folder-folder’ lama berkenaan. Antara rakaman yang ditemuinya ialah sebuah ‘folder’ bertarikh Jun 2014 yang memuatkan rakaman Allahyarham bercerita mengenai zaman ‘rempit’ bersama Tun Dr Mahathir dan kemudiannya bersama Tok Penghulu.

Katanya, Allahyarham turut menceritakan bagaimana beliau dan ketua kampung pernah terjatuh ke dalam sawah padi. Lebih menarik, rakaman itu turut memperlihatkan sisi lembut Allahyarham apabila beliau berkongsi mengenai minatnya membantu proses kelahiran bayi serta kegembiraannya menyambut setiap bayi yang baru lahir dengan ucapan “Assalamualaikum”.
Allahyarham juga sempat bercerita mengenai persahabatannya dengan Tan Sri Dr Salma Ismail, wanita Melayu pertama yang menjadi doktor perubatan.

Dalam satu lagi ‘folder’, Zaharah menemukan rakaman Allahyarham sedang berbual bersama arwah ibunya. Rakaman itu turut memuatkan kisah zaman kecil Allahyarham ketika membesar dengan mendengar radio sewaktu pendudukan Jepun.
Zaharah menyifatkan rakaman tersebut sebagai sesuatu yang sangat mencuit hati sehingga membuatkannya menangis dan ketawa ketika menonton serta mendengarnya semula.
“Saya menangis dan ketawa ketika menonton dan mendengar semula yang ramai disifatkan sebagai Ibu Negara.”
“Al-Fatihah, Tun (Dr Hasmah). Saya akan merindui pelukan Tun,” kata Zaharah.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada Isnin.
Sumber : Sinar Harian
