Penyanyi lagu Different iaitu Syasya Rizal akui yang dirinya tidak dapat lari daripada dibandingkan dengan bekas kumpulan yang pernah dianggotainya iaitu Dolla.
Pemilik nama sebenar Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, berkata perkara tersebut dianggap normal kerana pernah menjadi anggota kumpulan tersebut sebelum bergerak solo.
Artikel berkaitan : Akaun IG Dolla Kini Kosong & Gambar Profil Bertukar Hitam, Petanda Album Baru Atau Ada Isu Lain?
Artikel berkaitan : “Ala, skirt pendek je pun…” – Syasya Rizal Tidak Mahu Jadi Seperti Dulu
Lagu Different bukan pasal Dolla, tak pernah bergaduh
“Kalau ada yang membandingkan saya dengan Dolla, saya tidak salahkan mereka sebab saya dulu pernah bergelar sebagai Syasya Dolla. Malah, lagu yang saya selesa adalah lagu rancak seperti ini kerana genre ini yang saya bawa selama ini.
“Tapi saya pilih Different sebagai lagu pengenalan dan lagu pertama untuk perjalanan solo saya juga untuk ketengahkan perbezaan saya. Ada banyak perbezaan yang saya bawa sekarang.”
“Saya bawakan imej yang berbeza, wajah yang berbeza dan itu yang saya mahu ketengahkan.”

Dalam pada itu, Syasya menepis dakwaan yang mengatakan lagu Different itu ditujukan kepada Dolla. Kata Syasya lirik lagu itu merujuk kepada pengalaman hidup sendiri dan ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak.
“Sebenarnya lirik lagu saya tak ada kena-mengena orang luar pun. Sebenarnya lirik ini semuanya mengenai diri saya. Saya yang tulis lagu ini, yang berkisarkan mengenai perjalanan hidup saya.
“Orang dengar liriknya, ‘Langkah aku tak mudah, takkan ku menyerah’, sebab saya sudah lalui banyak perkara dan walau apa pun saya tak berputus asa.”
“Dari segi tarian pula, saya merasakan itu suatu yang saya tak boleh kawal sebab saya di bawah pihak pengurusan. Apa yang mereka putuskan, saya ikut saja. Tapi saya tiada katakan, saya mahu keluarkan lagu sama seperti Dolla. Semua ini adalah melalui pihak pengurusan.”
Jelas Syasya lagi, hubungannya dengan semua anggota Dolla masih baik biarpun ramai yang membuat pelbagai spekulasi di media sosial.
“Sebenarnya saya jumpa saja dengan mereka. Ada yang kata kami gaduh dan sebagainya, tapi sebenarnya kami baik. Apa saja yang anda lihat di media sosial itu bukanlah semuanya.”
“Sebenarnya media sosial itu hanyalah mengenai kerja kerana kami penyanyi, kami perlu promosi kerjaya kami. Tapi mengenai perhubungan, itu suatu yang kami simpan. Alhamdulillah kami masih okey.”
“Mereka pun sibuk dengan kerjaya mereka sekarang dan mereka tahu fokus saya berbeza sekarang ini.”

Ditanya oleh Gempak jika ada kebarangkalian untuk berkolaborasi dengan Dolla, Syasya mengatakan dia tidak akan menolak peluang tersebut tetapi perlu mengambil kira pada beberapa aspek yang dibawanya memandangkan dirinya seorang isteri dan ibu.
“Tiada yang mustahil sebenarnya sebab kami di bawah pengurusan yang sama. Kalau ada peluang, saya tidak tolak tapi sudah tentu saya membawakan imej yang berbeza sekarang dan saya juga seorang isteri dan ibu, jadi sekarang ini saya kena jaga imej saya dan banyak benda yang perlu saya jaga juga.”
Sumber : Gempak
