in

Remaja 15 Tahun Dilapor Hilang, Didakwa Ada Kaitan Dengan Penemuan M*yat Reput Di Banting

remaja hilang 15 tahun penemuan mayat di banting

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Penemuan satu mayat reput yang dipercayai dibunuh dan dibuang dalam sebuah sungai di Banting, disyaki ada kaitan dengan kes remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang di Kajang pada 19 Disember lalu.

Memetik laporan Berita Harian, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut susulan penahanan tiga individu dengan salah seorang daripadanya dikatakan teman lelaki mangsa.


Polis percaya ia berkait dengan kes laporan kehilangan Yap Xin Yuan, 15, yang diterima di Balai Polis Batu 9, Cheras, pada 2.15 pagi, 20 Disember lalu sebelum usaha mencari mangsa dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis sudah menahan tiga orang bagi membantu siasatan setakat ini.

Screenshot 2024 12 31 123141

“Mayat ditemui dalam keadaan reput. Buat masa ini, pihak polis masih menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mangsa.

“Kita percaya ia (penemuan mayat) ada kaitan (dengan kehilangan remaja berkenaan) tetapi perlu tunggu pengesahan DNA, kita akan ketahui dalam sehari dua,” katanya.

Selain itu, polis memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung kes itu selepas keputusan DNA diperoleh.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas berlatih tarian singa di sebuah gelanggang bola keranjang di Batu 11 Cheras, pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, dilaporkan berkata keluarga yang menyedari mangsa tidak pulang ke rumah, membuat satu laporan polis pada jam 2.15 pagi, keesokannya.

Menurutnya, keluarga memaklumkan mangsa berlatih tarian singa di gelanggang bola keranjang terbabit dan sepatutnya terus pulang namun sehingga jam 10.30 malam, mangsa tidak pulang ke rumah.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.