Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera susulan dakwaan serius yang tular di media sosial membabitkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, semua program yang melibatkan individu terbabit diarah untuk hentikan serta-merta bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Artikel berkaitan: “Tak bermaksud kes disembunyikan” – Fadhlina Sidek Tampil Perjelas Maksud ‘Sembunyi Bawah Karpet’
Artikel berkaita: “Saya tak rasa desakan untuk meletak jawatan itu adalah supaya saya benar-benar berundur” – Fadhlina Sidek
Menurutnya, KPM memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia berkait rapat dengan aspek keselamatan serta perlindungan murid.

“Saya mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.”
“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid. Saya sudah meminta KPM mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam masa sama, Fadhlina meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut supaya tampil kepada pihak berkuasa untuk membuat laporan polis.
Permintaan itu turut melibatkan pelajar yang mungkin mempunyai maklumat mengenai dakwaan berkenaan.
Jelas beliau, tindakan membuat laporan penting supaya sebarang kanak-kanak yang terlibat dapat diberikan perlindungan selain menerima sokongan yang diperlukan.

“Keselamatan murid mesti dipandang serius dan teliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.
Isu itu sebelum ini mencetuskan perhatian di media sosial selepas muncul dakwaan bahawa penceramah berkenaan mempunyai kaitan dengan perlakuan pedofilia.
Lebih membimbangkan, pelajar yang menyertai program kendalian individu terbabit didakwa menjadi mangsa.
Sumber: Berita Harian
