in

Video Ketua Pengarah AKPS Di KLIA Tular, Ini Penjelasan Sebenar Tentang Insiden Berkenaan

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 27

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sebuah video yang memaparkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily  Mohd Zain ketika berada di KLIA Terminal 1 baru-baru ini tular di media sosial.

Susulan penularan video berkenaan, AKPS tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam insiden tersebut.


Rakaman CCTV Sebenarnya Berlaku Ketika Ketua Pengarah Buat Tinjauan Di KLIA

Menurut AKPS dalam satu kenyataan, video tular itu ialah rakaman sebenar yang dipetik daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA Terminal 1.

Insiden tersebut berlaku pada 28 September 2026 ketika Ketua Pengarah AKPS mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.

Dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pengarah AKPS bersama pasukan operasi turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti “ulat” di kawasan KLIA.

AKPS berkata tindakan itu dibuat berdasarkan aduan dan dakwaan orang ramai berhubung peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban yang didakwa berlaku hampir setiap hari di KLIA.

“Operasi tersebut juga merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilaksanakan secara menyeluruh serta konsisten.”

Seorang Warga Asing Dibawa Ke Ruang Bagasi Untuk Pemeriksaan

Susulan operasi itu, seorang warganegara asing telah dikenal pasti dan dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut.

AKPS menjelaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual ketika itu hanya melibatkan pasukan operasi AKPS bersama Aviation Security (AVSEC) KLIA.

Pihaknya turut menegaskan bahawa proses tersebut tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.

Dua Individu Lain Didakwa Masuk Ke Ruang Bagasi Dan Rakam Temu Bual

Bagaimanapun, menurut AKPS, dua individu lain yang bukan terdiri daripada pasukan operasi telah memasuki ruangan bagasi tersebut tanpa disedari pegawai.

“Kedua-dua individu berkenaan kemudiannya merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS bersama warganegara asing tersebut menggunakan telefon bimbit masing-masing tanpa kebenaran.”

AKPS berkata tindakan itu telah menimbulkan provokasi sehingga menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan.

Ketua Pengarah AKPS Buat Laporan Polis

Ekoran insiden tersebut, kedua-dua individu berkenaan telah membuat laporan polis sehari selepas kejadian dan satu lagi laporan dibuat dua hari selepas kejadian.

Ia kemudiannya disusuli dengan penularan klip video rakaman berkenaan di media sosial.

Susulan itu, Ketua Pengarah AKPS turut membuat satu laporan polis berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video tersebut bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Siasatan itu termasuk berkaitan keadaan bagaimana rakaman tersebut diperoleh dan disebarkan.

AKPS berkata penyebaran rakaman tersebut dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Ketua Pengarah AKPS serta agensi berkenaan.

Pada masa sama, AKPS menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.”

Sumber :Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.