Sebuah pesawat penumpang Flydubai yang dalam perjalanan dari Dubai ke Tel Aviv terpaksa dilencongkan ke Arab Saudi sebelum melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz, Tabuk pada Rabu.
Susulan kejadian itu, Pusat Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) Arab Saudi telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku ketika penerbangan berkenaan berada di udara.
Memetik laporan Anadolu Ajansi, NTSC memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai penerbangan Flydubai FZ1073 yang melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang tersebut.
Artikel berkaitan : Warga Britain Berdepan 2 Tahun Penjara Lepas Rakam Video Misil Iran Di Dubai
Artikel berkaitan : Lapangan Terbang Dubai Dan Hotel Mewah Burj Al Arab Alami Kerosakan Terkena Bedil*n Peluru Berpandu
Ada pertengkaran di kokpit
Pasukan penyiasat keselamatan penerbangan kemudian digerakkan bagi mengenal pasti keadaan yang membawa kepada insiden itu, selain mengesahkan aspek berkaitan keselamatan penerbangan serta mengumpul maklumat dan bukti.
Menurut Flydubai, berlaku “pertengkaran di kokpit” sebelum kru berjaya mengawal keadaan sebelum mengalihkan pesawat ke Arab Saudi dengan selamat.
Syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai itu turut mengesahkan semua penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat, namun punca serta motif di sebalik pertengkaran berkenaan masih tertakluk kepada siasatan rasmi.

Sebelum pesawat melakukan pendaratan cemas, Pusat Kawalan Trafik Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz menerima panggilan kecemasan daripada penerbangan FZ1073 pada jam 8.44 pagi waktu tempatan.
Lapangan terbang itu kemudian memaklumkan kapten dan pegawai pertama mengalami kecederaan sebelum kedua-duanya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Penerbangan berkenaan membawa seramai 174 penumpang dan dilaporkan menghantar kod kecemasan antarabangsa “7700”, sebelum kemudiannya menggunakan kod “7500”. Kod “7500” digunakan bagi menunjukkan berlakunya campur tangan menyalahi undang-undang terhadap pesawat, termasuk kemungkinan berlakunya rampasan.

Selepas insiden berkenaan, semua penumpang akhirnya meneruskan perjalanan pada jam 5.40 petang waktu tempatan menggunakan pesawat alternatif yang disediakan oleh Flydubai.
Sebelum ini Channel 12 Israel sebelum ini melaporkan pesawat berkenaan menjunam hampir 18,000 kaki selepas juruterbangnya didakwa ditikam beberapa kali oleh pembantu juruterbang dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, butiran mengenai dakwaan itu masih tertakluk kepada siasatan rasmi pihak berkuasa.
Sumber : Sinar Harian
