Ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung utama anak-anak, namun lain pula jadinya dalam satu kes menyayat hati di Sabah apabila seorang bapa tergamak memperkosa anak kandungnya sendiri berulang kali.
Hari ini, Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhkan hukuman penjara 105 tahun dan 70 kali sebatan ke atas seorang lelaki berusia 53 tahun selepas dia mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya yang kini berumur 25 tahun.
Artikel berkaitan: Bapa Mangsa T*kam Bersedia Bersemuka Dengan Keluarga Suspek
Artikel berkaitan: Ibarat Haruan Makan Anak, Bapa Dipenjara 39 Tahun Sebab R*gol Anak Sendiri
Sanggup Berulang dari Lahad Datu ke Tawau Demi Puaskan Nafsu
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya memerintahkan tertuduh yang juga seorang guru di sebuah pusat tuisyen di Lahad Datu menjalani hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan. Kesemua hukuman penjara diarahkan berjalan secara berasingan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman sebatan terhad kepada maksimum 24 kali sahaja mengikut peruntukan Seksyen 288(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di beberapa buah hotel di Tawau antara Disember 2025 hingga 19 Mac lalu. Pihak pendakwaan turut mendedahkan bahawa penderitaan mangsa sebenarnya telah bermula sejak dia berusia 16 tahun lagi.
Malah, terdapat unsur perancangan rapi apabila tertuduh sanggup meminta jadual kerja anaknya, mengarahkannya menempah bilik hotel, serta sanggup memandu jauh dari Lahad Datu ke Tawau semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Saya Benar-Benar Bertaubat Dan Menyesal…”
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan sambil meluahkan rasa malu dan menyesal atas perbuatannya.
“Saya benar-benar bertaubat dan sangat menyesal. Mudah-mudahan saya menjadi orang terakhir yang melakukan perkara seperti ini, selain berharap diberi peluang sekiranya dibebaskan kelak untuk bertemu anak-anak serta keluarga bagi memohon maaf,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly merayu hukuman berat dikenakan memandangkan perbuatan tertuduh bukan sahaja mencabuli maruah mangsa, malah memusnahkan institusi kekeluargaan.
Hukuman Keseluruhan Cecah 280 Tahun Penjara!
Untuk rekod, sebelum prosiding di Tawau, tertuduh juga pernah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Lahad Datu atas 11 pertuduhan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 165 tahun serta 110 sebatan.
Dengan keputusan terbaharu di Mahkamah Sesyen Tawau ini, tertuduh kini secara keseluruhannya berdepan dengan hukuman penjara 280 tahun dan 180 sebatan bagi kesemua kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandungnya itu.
Sumber: Harian Metro
