Baru-baru ini, baru sahaja kita dengar tentang beberapa kes pemalsuan keputusan ujian kendiri Covid-19 dalam kalangan pekerja. Malah apabila ditanyakan kepada mereka berkaitan isu ini, beberapa faktor dapat dikenal pasti.
Antara faktor yang dapat dikesan adalah kerana mereka sangat terdesak untuk mendapatkan cuti namun tidak diluluskan oleh pihak majikan.
Oleh hal yang demikian, perunding hal ehwal sumber manusia Dr. Deepa George telah mendakwa masalah pemalsuan keputusan Covid-19 dalam kalangan pekerja ini berpunca daripada gejala ‘burnout’ yang dialami oleh mereka.
Menurut beliau, masalah pemalsuan laporan kesihatan dalam kalangan pekerja ini bukanlah sesuatu yang baru kita alami semasa pandemik ini. Sejak dulu lagi sudah wujud isu pekerja membeli sijil cuti sakit di klinik-klinik kesihatan. Jadi, keputusan ujian kendiri Covid-19 yang hanya perlu dilakukan sendiri di rumah ini dilihat lebih mudah untuk dipalsukan.
“Budaya toksik sesebuah syarikat yang mendesak pekerja datang bekerja menyebabkan mereka takut untuk meminta cuti pelepasan dan membuat keputusan akhir untuk memalsukan keputusan ujian Covid kendiri,” jelas beliau lagi.
Beliau juga sempat memberi nasihat kepada pihak majikan agar lebih peka terhadap kebajikan pekerja dengan sentiasa berkomunikasi dengan mereka bagi mengetahui keadaan semasa para pekerja serta mengenal pasti adakah faktor gejala ‘burnout’ yang berlaku disebabkan oleh suasana di tempat kerja ataupun berpunca dari rumah.
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar ujian PCR wajib dikenakan selepas ujian RTK yang positif, dengan kos yang ditanggung oleh majikan serta menggesa majikan untuk mendesak pekerja melaporkan status positif Covid mereka di aplikasi Mysejahtera.
Sumber: BFM News
Baca: Terdesak Nak Cuti Bergaji, Pekerja Sanggup Palsukan Result Ujian Covid