Seorang pelajar cemerlang di Korea Selatan yang sebelum ini mencuri perhatian kerana berjaya mencipta rekod dalam peperiksaan kemasukan sekolah undang-undang kembali menjadi bualan atas sebab berbeza apabila dia ditemukan meninggal dunia di sebuah motel di Seoul, Khamis lalu.
Lelaki yang dikenali sebagai Lee Jin Woo, 32, merupakan pelajar Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) yang sebelum ini berjaya memperoleh markah penuh dalam Legal Education Eligibility Test (LEET), sekali gus menjadi individu pertama mencapai keputusan sempurna dalam kedua-dua bahagian peperiksaan itu sejak diperkenalkan pada 2008.
Bagaimanapun, pencapaiannya mula dipersoalkan selepas timbul dakwaan bahawa dia menggunakan AI untuk mendapatkan keputusan cemerlang tersebut.
Dakwaan timbul selepas kes calon peperiksaan akauntan cukai meniru guna AI
Kontroversi itu tercetus selepas seorang calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan tahun ini mengaku menggunakan AI untuk meniru.
Pengakuan berkenaan kemudian mencetuskan persoalan orang ramai mengenai keputusan luar biasa Jin Woo, malah ada yang mula mempersoalkan sama ada dia turut menggunakan kaedah sama dalam peperiksaan LEET.
Hal ini disebabkan pencapaian akademiknya yang dikatakan meningkat secara mendadak berbanding keputusan terdahulu.
Malah, timbul dakwaan bahawa dia turut menggunakan kaedah sama dalam peperiksaan kemasukan universiti sebelum berjaya mendapat tempat di Universiti Korea pada 2024 dan Fakulti Pergigian SNU pada 2026.
Bagaimanapun, Jin Woo menafikan tuduhan tersebut dan menjelaskan bahawa pencapaiannya adalah hasil perubahan teknik pembelajaran serta usaha sendiri.

Artikel berkaitan: Pelajar Universiti Tulis Nota Atas Kaki Untuk Meniru Semasa Peperiksaan
Artikel berkaitan: “Pressure nak dapat result bagus” – Pelajar Bunuh Diri Lepas Kantoi Meniru Masa Exam
Tak hadir dalam live lepas janji untuk buktikan diri
Bagi membersihkan namanya, Jin Woo berjanji untuk mengambil ujian bahagian Bahasa Korea dalam peperiksaan kemasukan kolej 2027 secara langsung menerusi siaran YouTube.
Namun, pada hari kejadian, dia gagal muncul di lokasi yang ditetapkan sehingga penganjur terpaksa membatalkan sesi berkenaan.
Polis kemudian menerima laporan kehilangan selepas seorang kenalannya bimbang mengenai keselamatan lelaki itu.

Menurut laporan Yonhap, Jin Woo akhirnya ditemukan dalam keadaan henti jantung di sebuah motel berhampiran Stesen Cheonho, daerah Gangdong, sekitar jam 1.12 tengah hari.
Pihak berkuasa Korea Selatan lazimnya menggunakan istilah ‘keadaan henti jantung’ bagi merujuk individu yang ditemukan tidak menunjukkan tanda kehidupan sementara menunggu pengesahan rasmi kematian.
Satu nota turut ditemukan di lokasi kejadian. Nota berkenaan dilaporkan mengandungi luahan bahawa Jin Woo mengalami keletihan dari segi fizikal dan mental.
Bagaimanapun, nota itu tidak menyebut mengenai dakwaan penipuan peperiksaan mahupun memberikan penjelasan berhubung kontroversi yang sedang dihadapinya.

Polis jalankan siasatan
Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa akan meneruskan siasatan mengenai aduan yang dibuat sebelum ini berhubung dakwaan penipuan, menghalang urusan perniagaa serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Perdana Menteri Korea Selatan, Han Seong-sook, turut mengarahkan supaya kertas soalan peperiksaan kemasukan kolej tahun lalu disimpan bagi memastikan siasatan terhadap dakwaan penipuan menggunakan AI dapat dijalankan.
Kes ini sekali gus mencetuskan perbincangan lebih meluas mengenai integriti peperiksaan dan penyalahgunaan teknologi AI dalam sistem pendidikan Korea Selatan.
Sementara itu, SNU akan memproses status Jin Woo sebagai pelajar yang menarik diri daripada pengajian susulan kematiannya. Bagaimanapun, pihak universiti tidak boleh membatalkan kemasukannya hanya berdasarkan dakwaan penipuan yang masih belum dibuktikan.
Sumber: The Chosun Daily, Korea JoongAng Daily
