Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil menitipkan kata-kata semangat buat atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kini berdepan ujian besar selepas kehilangan tangan kanan susulan satu kemalangan.
Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Azizulhasni meluahkan rasa dukacita atas nasib menimpa atlet muda berusia 22 tahun itu yang sempat ditemuinya pada Majlis Anugerah Insentif, baru-baru ini.
Artikel berkaitan: Pengurus Pasukan Angkat Berat Letak Jawatan Selepas Dikritik Berkenaan Pencapaian Aniq Kasdan
Artikel berkaitan: Lebih 7 Jam Di Bilik Bedah, Tangan Kanan Pemenang Pingat Sukan Komanwel Gagal Diselamatkan
Dalam perkongsian sama, beliau menyeru seluruh warga sukan serta rakyat Malaysia untuk terus mendoakan ketabahan Hafizuddin selain berharap pihak berkaitan tampil membela kebajikannya.
“Jangan putus asa dan semoga terus kuat Udin. Ini bukan pengakhiran perjalanan hidupmu. Semoga Allah SWT beri kekuatan, ketabahan dan permudahkan segala urusanmu.
Kami seluruh warga sukan dan rakyat Malaysia sentiasa mendoakanmu,” katanya.
Azizulhasni turut menekankan kepentingan bantuan jangka panjang buat Hafizuddin agar aspek rawatan serta masa depannya sentiasa terpelihara dan tidak terabai.
“Saya berharap pihak berwajib, badan sukan dan mana-mana organisasi yang berkaitan dapat tampil membantu, memastikan kebajikan, rawatan dan keperluannya terus terbela, bukan hanya untuk sekarang tetapi juga untuk masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain badminton negara, Toh Ee Wei turut berkongsi rasa sedih sejurus menerima perkhabaran duka mengenai insiden yang menimpa atlet berkenaan.
Terdahulu, nasib menimpa Hafizuddin atau mesra disapa Udin mengundang simpati ramai selepas tangan kanannya terpaksa dipotong akibat kecederaan parah susulan kemalangan jalan raya yang dialaminya baru-baru ini, sekali gus menjejaskan karier sukannya yang sedang meningkat naik.
Sumber: Berita Harian
