Baru-baru ini pemandu teksi Bangkok mendapat perhatian media serta pujian netizen selepas melakukan sesuatu yang sewajarnya dicontohi oleh semua tidak kira dari mana kita berasal.
Withit Daungjumphol, 34, mendapat pujian selepas bersikap jujur dengan memulangkan sebuah beg berisi barang berharga penumpangnya yang bernilai hampir 3juta Thai Baht (RM374,958). Barang berharga yang tidak sengaja ditinggalkan penumpangnya itu terdiri daripada wang tunai sebanyak 255,000 Thai Baht (RM31,871) serta 2kg rantai serta cincin emas.
Patcharee Saelim berusia 58 tahun dan pemilik sebuah kedai emas di wilayah Petchabun membuat laporan polis selepas menyedari beg yang mengandungi barang berharganya itu tertinggal di dalam teksi. Menurut Patcharee, kesemua barang itu berjumlah 2,850,000 Thai Baht (RM356,210).
Disebabkan tiada maklumat tentang nombor plat teksi atau nama pemandu teksi itu, pegawai polis Sue terpaksa mengesan pemandu itu menggunakan rakaman CCTV.
“Dia (Patcharee) yakin beg berisi barang berharganya itu tertinggal di dalam teksi berwarna oren yang dinaikinya dari Mo Chit ke persimpangan Sri Ayutthaya lebih kurang 2 pagi Selasa lalu.” kata Sue.
Apabila dihubungi pihak polis, pemandu teksi berwarna oren itu, Samart Ngernthong berkata wanita itu turun dari teksinya bersama dengan beg pakaian serta beg fabrik berisi barang berharga itu. Bagaimanapun, menurut Samart, beliau membantu wanita itu mendapatkan teksi yang lain selepas itu.
“Saya bantu dia dapatkan teksi yang lain memandangkan saya tidak tahu jalan untuk ke tempat yang ingin dituju iaitu Ratchawong Pier.” kata pemandu teksi itu.
Ketika pihak polis cuba periksa CCTV untuk menjejaki pemandu teksi kedua itu, Patcharee sudah putus harapan bahawa begnya itu akan dijumpai. Namun, nasib menyebelahinya apabila pemandu teksi itu sendiri memulangkan semula beg tersebut. Bagusnya!
Withit Daungjumphol, 34, cuba mencari pemilik barang berharga itu dengan menghubungi JS100 dan mereka kemudian membantu menemukan Withit bersama penumpangnya yang pelupa itu.
Bersyukur dan berterima kasih dengan sikap terpuji Withit, Patcharee memberikan wang tunai sebanyak 100,000 Thai Baht (RM12,498). Beliau turut menderma 30,000 Thai Baht (RM3,749) kepada badan kebajikan yang memberikan kerusi roda percuma kepada yang memerlukan.
Withit juga tidak melupakan mereka yang memerlukan apabila beliau turut menderma 10,000 Thai Bhat (RM1,249) daripada wang yang diterimanya itu kepada badan kebajikan.
Memang diakui agak sukar untuk kita jumpa orang jujur dan bersikap telus seperti pemandu teksi itu, tetapi jangan pula kita bersangka buruk dengan orang disebabkan itu.
Masih ada yang bersikap jujur seperti Withit, seperti lelaki di Phuket ini yang memulangkan barang milik seorang pelancong dari Itali.
Dusit Somprayoth, 37, memulangkan barang-barang milik penumpangnya seorang pelancong dari Itali yang tertinggal di dalam teksinya. Francesso Valluzzi, 71 menaiki teksi milik Dusit dari lapangan terbang untuk ke Kianseng Guesthouse di Nai Thon Beach.
“Saya tidak sedar pelancong itu tertinggal barangnya di tempat duduk belakang. Selepas saya menurunkannya dan pulang ke rumah di Rawai, barulah saya ternampak beg itu. Jadi, saya patah balik ke tempat itu untuk memulangkannya.” kata Dusit
Valluzzi yang sebelum itu telah membuat laporan dan sedang menunggu pihak polis untuk menjejaki pemandu teksi tersebut bagaimanapun terkejut dengan tindakan Dusit yang jujur dan datang sendiri untuk memulangkan kesemua barang miliknya itu.
Barang milik Valluzzi yang tertinggal di dalam teksi itu bernilai lebih kurang 111,000 Thai Baht (RM13,873). Barang itu terdiri daripada komputer riba, kamera, pasport serta wang tunai 5,000 Thai Baht (RM642). Dusit turut menerima ganjaran daripada Valluzzi di atas sikap jujurnya itu namun jumlah yang diterima tidak dinyatakan.
Alangkah bagusnya jika semua orang di muka bumi ini bersikap jujur serta telus seperti kedua-dua pemandu teksi ini….