Seorang pelajar sekolah dari Sarawak yang berusia 16 tahun didakwa telah memandu kereta hingga menyebabkan satu kemalangan ngeri yang meragut lima nyawa di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru, Kuching semalam.
Menerusi laporan Kosmo!, pelajar tersebut didapati tidak mempunyai lesen memandu. Menurut Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah, remaja itu mengalami kecederaan di leher akan ditahan sebaik sahaja keluar dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
Artikel berkaitan : Rim Besi Dari Tayar Lori Yang Dipercayai Jadi Punca Kemalangan Di Ayer Keroh Ditemui Polis
Artikel berkaitan : 2 Beranak Maut Kemalangan Di WCE: Isteri Sempat Mohon Maaf Berulang Kali Sebelum ‘Pergi’
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.”
Sebelum ini, Mohd. Farhan menjelaskan bahawa kejadian yang berlaku pada pukul 12.50 tengah hari itu berpunca daripada kereta yang dipandu pelajar terbabit.
Siasatan awal mendapati bahawa kereta terbabit yang datang dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke Jalan Setia Raja telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke arah jalan bersebelahan dan merempuh dua buah kereta serta dua buah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, empat mangsa (tiga lelaki dan seorang perempuan) berumur antara 16 hingga 45 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut semasa menerima rawatan di zon merah HUS.”
Tambahnya, tiga mangsa yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di unit kecemasan.
Sumber: Kosmo!