Bank Rakyat hari ini mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian pelaksanaan (implementation agreement) dengan MNRB Holdings Berhad (MNRB) bagi cadangan pengambilalihan anak-anak syarikat milik penuhnya, iaitu Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (dikenali secara kolektif sebagai Takaful IKHLAS).

Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (DFI), Bank Rakyat kini menawarkan
perkhidmatan perbankan dan kewangan patuh Syariah kepada segmen individu,
perniagaan serta koperasi melalui pembiayaan perbankan runcit dan perniagaan, akaun
deposit dan pelaburan, perancangan kewangan serta perkhidmatan perbankan digital.
Cadangan pengambilalihan Takaful IKHLAS ini bakal memperkukuh kekuatan dan
keupayaan sedia ada bagi Bank Rakyat memperluaskan penawaran perkhidmatan
kewangan yang lebih menyeluruh.
“Cadangan pengambilalihan ini merupakan satu pelaburan strategik oleh Bank Rakyat untuk memperkukuh penawaran produk patuh Syariah kami di samping memperkasa ekosistem kewangan Islam Malaysia.”– kata Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak
“Sebagai bank koperasi Islam terbesar di negara ini, kami memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui pembangunan sosioekonomi yang mapan.”
“Pelaburan ini akan mengukuhkan strategi pelaksanaan mandat Bank Rakyat ke
atas segmen koperasi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), di samping memperluas rangkuman kewangan dan memperkasa perlindungan kewangan bagi isi rumah dan perniagaan.”“Ia juga membuka ruang kepada strategi baharu untuk dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan dan pengembangan perniagaan koperasi yang mampu mewujudkan nilai jangka panjang kepada ekosistem koperasi dan PMKS di Malaysia.”– tambahnya lagi
Pengambilalihan ini juga merupakan satu pencapaian penting dalam aspirasi jangka
panjang Bank Rakyat untuk berkembang menjadi sebuah konglomerat kewangan Islam
terkemuka yang mampu menawarkan penyelesaian kewangan yang komprehensif dan
bersepadu bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
Ia membolehkan Bank Rakyat melengkapkan keupayaan perbankan sedia ada dengan penyelesaian takaful, sekali gus menyokong pelanggan sepanjang perjalanan kewangan mereka, daripada pembiayaan kepada peningkatan, pengurusan dan perlindungan kekayaan.
Penyertaan Takaful IKHLAS dalam Kumpulan juga membolehkan Bank Rakyat merapatkan jurang dalam penawaran produk sedia ada, khususnya bagi segmen pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan (underserved) dan belum mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan (unserved).
“Pengambilalihan Takaful IKHLAS oleh Kumpulan bukan sekadar mengenai penciptaan nilai, malah turut memperkukuh kapasiti dan keupayaan kami dalam memperluaskan peranan pembangunan Kumpulan.”
“Kami menjangkakan pengambilalihan ini akan mengukuhkan rangkaian saluran
penyampaian, meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menambah baik kecekapan operasi serta memperluas keupayaan perniagaan Kumpulan.”“Gabungan kekuatan ini akan menyokong penciptaan nilai jangka panjang yang mampan kepada pelanggan, anggota dan pihak berkepentingan kami, di samping menyumbang kepada daya tahan perniagaan serta pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh.”– kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril
Ditubuhkan pada tahun 2002, Takaful IKHLAS merupakan antara pengendali takaful
terkemuka di Malaysia yang menawarkan rangkaian komprehensif penyelesaian takaful
keluarga dan takaful am kepada individu, perniagaan serta pelanggan korporat.
