Kalau korang ada membela haiwan peliharaan, tak kisahlah kucing ke, anjing ke atau hamster sekali pun, mesti korang perasan yang mereka ni juga ada perangai yang tersendiri. Kalau korang tanya min, kucing min ada perangai pelik suka didokong macam baby kalau nampak kucing lain. Tak tahulah kenapa…
Seekor anjing peliharaan bernama Chrissy ini juga tak kurang mempunyai perangai yang unik dimana dia difahamkan akan pura-pura mati di tengah jalan sekiranya tuannya tak memberinya treat (macam jajan tapi untuk haiwan peliharaan).
Portal Mirror melaporkan, telatah lucu Chrissy dikongsikan seorang individu menerusi laman Reddit setelah dia terjumpa papan tanda yang ditulis tuan Chrissy menjelaskan perangai aneh anjing itu jika tidak diberikan treat.
“Kalau anda terlihat seekor anjing berdekatan papan tanda ni, jangan risau, dia bukannya sesat tapi sebenarnya tengah merajuk. Dia tinggal bersama kami dan suka masam muka dan tak akan masuk dalam rumah sampailah kami beri treat (treat Chrissy baru sahaja kehabisan).
Kalau anda perasan Chrissy berbaring di tengah jalan raya, jangan risau sebab dia memang suka berpura-pura mati untuk menagih simpati sebab tak dapat treat. Terima kasih,” tulis papan tanda di rumah tuan Chrissy.
Netizen join share ‘tea’ pasal perangai pelik haiwan peliharaan masing-masing.
Posting mengenai papan tanda dan perangai Chrissy itu nyata menghiburkan pengguna internet yang menyifatkan anjing itu lucu tetapi berperangai agak dramatik. Tidak kurang juga ada yang berkata mereka akan terus ke kedai beli treat kalau haiwan peliharaan mereka berperangai macam tu. Yelah kan, tak sampai hati pulak…
Meninjau ke ruangan komen pula, beberapa orang netizen mengambil kesempatan berkongsi perangai haiwan peliharaan mereka yang berkelakuan lebih kurang Chrissy bila tak dapat apa yang mereka nak.
“Saya ada anjing jenis Labrador dan dia pernah pura-pura sakit kaki. Saya balut kakinya dan tak bagi dia keluar rumah sebab taknak keruhkan keadaan. Tiba-tiba terus baik kaki anjing saya tu,” tulis seorang netizen.
“Anjing saya pun sebijik perangai Chrissy. Dia akan berpura-pura macam didera bila dia taknak keluar rumah. Dia akan mula menggigil, takut-takut, tunjuk perut dan enggan bergerak tapi bila saya angkat, seronok pulak,” kata pengguna lain.
“Anjing saya juga suka pura-pura nak mati ni. Dia bersaiz kecil jadi bila dia merajuk, dia akan panjat tangga, katil atau sofa dan ugut nak terjun,” komen netizen lain.
“Saya kenal seekor anjing yang akan berpura-pura sakit kaki tapi bila ajak dia berjalan pada hari yang baik, terus sakit tu hilang,” tulis yang lain pula.