Berita baik untuk orang Negeri Sembilan, kerajaan negeri akan membenarkan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu pada tahun ini. Namun menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, ia akan beroperasi di kawasan yang sesuai.
Ujarnya lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menetapkan tapak bazar Ramadan yang bersesuaian dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Antaranya membabitkan penjarakan fizikal dan kemudahan tempat meletak kereta yang mencukupi.
Bagaimanapun, kebenaran ini bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jika melihat kepada kebenaran operasi pasar malam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rasanya tiada masalah untuk bazar Ramadan dibenarkan beroperasi,” katanya.
Beliau berkata begitu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Bilik Gerakan Wisma Negeri. Tambah beliau lagi, pihaknya sudah mengarahkan PBT di negeri itu mengenal pasti tapak yang sesuai untuk diadakan bazar Ramadan.
“Persiapan perlu dilakukan dari sekarang supaya tidak timbul masalah apabila tiba Ramadan dan saya berharap ia dapat dilaksanakan dengan lancar sebagai suatu usaha pemulihan ekonomi rakyat,”
Selain itu juga, beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Mufti Negeri akan menyediakan garis panduan SOP sepanjang bulan Ramadan.
“Ia membabitkan SOP solat Tarawih, majlis berbuka puasa, moreh dan sebagainya.”