Semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia dari awal tahun lepas, ramai daripada kita yang hilang pekerjaan. Malah, banyak syarikat yang terpaksa memecat pekerja untuk mengurangkan kos perbelanjaan, kesannya pekerja dibuang secara besar-besaran.
Sebagai alternatif, ramai rakyat Malaysia yang mula mencari kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan hidup di kala ekonomi negara yang kurang stabil. Antara kerja yang kini popular adalah seperti menjadi penghantar makanan dan dropshipper untuk mana-mana bisnes.
Namun, tahukah anda sebenarnya masih banyak lagi pekerjaan yang ditawarkan di luar sana tanpa kita sedari. Rata-rata pekerjaan yang ditawarkan ini tidak diiklankan kepada umum, namun boleh dijumpai di dalam portal mencari kerja.
Jadi, hari ini Lobak Merah akan kongsikan lubuk-lubuk kerja kosong yang sering digunakan sebagai platform mencari pekerja oleh para majikan.
Buat anda yang sedang mencari kerja, artikel ini untuk anda! Berikut adalah senarai portal mencari kerja yang patut anda lawati.
1. LinkedIn
LinkedIn adalah platform untuk menghubungkan dunia profesional. Dalam bahasa mudah, LinkedIn adalah seperti Facebook namun khas untuk mereka yang mahu mencari kerja atau menawarkan kerja.
LinkedIn juga menjadi lubuk buat para perekrut atau majikan untuk mencari pekerja dalam sesuatu bidang. Jika sebelum ini anda sering menghabiskan masa dengan melayari Facebook, mungkin selepas ini anda boleh menjadikan LinkedIn sebagai media sosial yang baru.
Buat lepasan graduan universiti, anda wajib mencipta akaun LinkedIn jika mahu mencari kerja. Di sini juga anda boleh mendapatkan banyak tips-tips mencari kerja daripada pakar.
2. Indeed
Indeed adalah laman mencari kerja yang diasaskan oleh syarikat dari Amerika Syarikat. Diasaskan pada tahun 2004, Indeed menawarkan fungsi mencari kerja dan mencari pekerja.
Dengan rekaan laman web yang mudah untuk difahami, Indeed sangat sesuai digunakan untuk mereka yang kurang mahir dalam teknologi.
Anda hanya perlu mencipta akaun, lalu menapis skop pekerjaan dan lokasi yang diingini di ruangan carian.
3. WOBB
Laman WOBB merupakan antara laman mencari kerja yang terkenal di Malaysia. Jika anda sering mencari kerja di internet, pasti anda pernah dengar tentang laman ini.
Uniknya tentang WOBB, anda boleh mencari kerja kosong dengan melihat syarikat yang diingini. Ruangan utama portal ini kemas dan tersusun, membuatkan laman ini mudah untuk digunakan.
4. JobStreet
Rasanya hampir semua orang di Malaysia mengenali JobStreet yang terkenal sebagai laman mencari kerja. Seperti laman mencari kerja yang lain, JobStreet turut menawarkan fungsi menapis ruangan carian, untuk memudahkan proses mencari kerja.
JobStreet juga menawarkan artikel-artikel berilimiah berkenaan tips dalam mencari kerja. Buat anda yang tidak tahu cara untuk membuat resume, mereka ada ajar di situ!
5. Neuvoo
Dengan hanya menetapkan skop kerja dan lokasi yang diingini, Neuvoo akan memberi hasil carian kerja kosong yang sesuai buat anda.
Neuvoo turut menawarkan iklan kerja kosong daripada pelbagai sektor seperti perakaunan, kejuruteraan dan pembinaan. Anda tunggu apa lagi?
6. Internsheeps
Buat pelajar universiti yang mahu mencari tempat latihan praktikal, laman web ini adalah khas untuk anda! Internsheeps hanya menawarkan iklan latihan praktikal, tanpa perlu menapis ruangan carian.
Seperti di laman lain, Internsheeps turut menawarkan fungsi mencari latihan praktikal berdasarkan bidang pekerjaan dan lokasi yang diingini.
7. Group Facebook / Channel Telegram
Sebenarnya, banyak lagi alternatif lain yang anda boleh gunakan untuk mencari kerja kosong. Sebagai contoh, Group Facebook dan Channel Telegram yang dicipta khas untuk mereka yang mahu mencari kerja dan mencari pekerja.
Buat anda yang bekerja dalam bidang IT, laman Kerja kosong dalam bidang IT ini menjadi lubuk buat mereka yang mahu mencari pekerja dalam bidang ini.
Di Telegram pula, anda hanya perlu mencari channel Telegram di ruangan carian. Berikut adalah beberapa channel yang popular:
(a) Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta
(b) Group Kerja Kosong & Internship 2021
(c) adnexio_techIT
(d) adnexio_engineering
Buat anda yang masih mencari kerja, jangan pernah berputus asa dan selamat mencuba!
BACA: Tak Reti Buat Resume? Guna 5 Laman Web Ini Dengan Hanya Isi Tempat Kosong