Hari ini merupakan hari sedih buat seluruh rakyat Malaysia apabila Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun telah disahkan meninggal dunia dan menjadi antara 50 mangsa yang terkorban dalam tragedi serangan pengganas di Christchurch, New Zealand.
Menurut Astro AWANI, Allahyarham telah selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Lindwood, Christchurch lepas waktu Zohor (waktu tempatan) hari ini.
Bapa iringi arwah, ratusan umat Islam hadir sertai pengebumian
Bapa arwah, Mohd Tarmizi yang juga salah seorang mangsa cedera dalam serangan tersebut telah mengiringi jenazah anak lelakinya semasa pengebumian. Pengebumian tersebut juga turut disertai ratusan umat Islam dari Malaysia, Afghanistan dan Iran.
https://twitter.com/sumishanaidu/status/1108555491548946433
https://twitter.com/sumishanaidu/status/1108560129803223041
Walau bagaimanapun, ibu dan kakak arwah dilaporkan tak hadir di tempat pengebumian dan sebaliknya hanya ada di rumah kerana mereka ingin bersendirian dan pilih untuk ziarahi pusara anaknya kelak.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi New Zealand meminta semua pihak agar hormati privasi keluarga ini dan jangan keterlaluan dalam mendapatkan sebarang maklumat buat masa ni.
Mohd Tarmizi semakin pulih
Mohd Tarmizi yang alami kecederaan akibat terkena tembakan telah dibenarkan pulang dari hospital lepas jalani pembedahan. Anaknya yang lain, Mohd Haris pula selamat tanpa sebarang kecederaan namun masih trauma akibat kejadian tersebut.
Rata-rata netizen di seluruh dunia terutamanya di Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan begitu cemburu dengan kematian yang menjemput Haziq dalam husnul khotimah.
Al Fatihah… semoga keluarga mangsa tabah hadapi ujian ini.