Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mencuri perhatian apabila meluangkan masa bersama anak perempuannya, Kim Ju Ae, ketika mengunjungi sebuah pusat peranginan ski baharu di negara itu.
Menerusi beberapa foto yang dikongsikan media rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA), Ju Ae dilihat sedang bermain ski di Gunung Phothae, manakala Kim Jong Un pula kelihatan berada di kawasan berkenaan sambil memerhatikan anaknya bermain ski.
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian ialah tindakan pemimpin itu yang dilihat duduk santai di atas sebuah sofa yang diletakkan di kawasan bersalji sambil memerhatikan anak perempuannya. Isterinya, Ri Sol Ju, turut dilihat berada bersama mereka sepanjang lawatan tersebut.
Foto berkenaan pantas menjadi bualan di media sosial dengan rata-rata warganet tertarik melihat cara Kim Jong Un bersantai ketika menemani anaknya.
Ada yang menyifatkan pemandangan tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa dan ada juga yang menganggap kerusi berkenaan terlalu mewah untuk diletakkan di tengah kawasan ski.
Artikel berkaitan: PBB Dedah Korea Utara Laksana Hukuman Mati Terhadap Rakyat Sebab Tonton Drama & Filem Asing
Artikel berkaitan: “Kena paksa kahwin” – 7 Peraturan Ketat & Tak Masuk Akal Yang Perlu Dipatuhi Oleh Isteri Kim Jong Un
Menurut laporan KCNA pada 17 November, lawatan berkenaan berlangsung pada 15 dan 16 November di bandar Samjiyon, berhampiran sempadan China.
Dalam kunjungan sama, Kim Jong Un turut meninjau beberapa projek pembangunan termasuk pusat peranginan ski, hotel, Lapangan Terbang Samjiyon serta kemudahan kereta api yang masih dalam pembinaan.
Difahamkan, pembangunan kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Korea Utara untuk memperkukuh sektor pelancongan, selain mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Sumber: NK News
