in

Karier Atlet Pingat Emas Komanwel Berakhir, PABM Mahu Bantu Hafizuddin Jadi Jurulatih

Hafizuddin Karier Berakhir Kemalangan Ft

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Empat bulan lalu, nama Muhammad Hafizuddin Roslin menjadi kebanggaan negara selepas berjaya meraih pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026. Bagaimanapun, karier atlet angkat berat negara itu kini terpaksa berakhir selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, Isnin lalu.

Atlet berusia 22 tahun itu terpaksa menerima hakikat kehilangan tangan kanannya selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.


Menurut Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, keadaan Hafizuddin kini stabil dan dia sudah sedar sepenuhnya serta mampu berbual, tersenyum dan menerima kunjungan tetamu.

Katanya, meskipun berdepan kecederaan yang bakal mengubah kehidupannya, Hafizuddin dilihat tabah dan masih menunjukkan semangat yang tinggi.

Karier Hafizuddin berakhir

Bagaimanapun, Ayub mengesahkan perjalanan Hafizuddin dalam sukan angkat berat sudah berakhir. Malah, peluang untuknya beralih ke sukan para seperti powerlifting juga dilihat hampir mustahil.

Cadangan untuk menceburi acara lontar peluru turut dilihat sukar memandangkan kecederaan membabitkan tangan dominannya. Namun PABM akan berusaha untuk mengenal pasti sukan para lain yang bersesuaian.

Artikel berkaitan: Lebih 7 Jam Di Bilik Bedah, Tangan Kanan Pemenang Pingat Sukan Komanwel Gagal Diselamatkan

Artikel berkaitan: Pengurus Pasukan Angkat Berat Letak Jawatan Selepas Dikritik Berkenaan Pencapaian Aniq Kasdan

PABM rancang beri peluang jadi jurulatih

Pada masa sama, PABM tidak mahu pengalaman Hafizuddin sebagai atlet sejak usia 14 atau 15 tahun disia-siakan.

Justeru, pihak persatuan merancang memberi pendedahan awal kepadanya dalam bidang kejurulatihan, khususnya di negeri Perlis, supaya pengalaman yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk membimbing atlet lain.

Menurut Ayub, kejadian itu turut memberi kesan besar kepada perancangan jangka panjang sukan angkat berat negara susulan Hafizuddin merupakan antara prospek terbaik negara untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik dan Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Majlis Sukan Negara (MSN) menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan termasuk penginapan di wad sehingga atlet berkenaan dibenarkan keluar dari HKL.

Sementara itu, elaun latihannya akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa serta layak menerima Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM915.84 sebulan seumur hidup dan bayaran pukal sekali gus berjumlah RM39,060.58.

 

View on Threads

 

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.