Biasanya #LobakMerahTop akan menyenaraikan cerita-cerita paling viral dan sensasi yang berlaku sepanjang minggu.
Tapi, disebabkan dah nak hujung tahun, artikel kali ini kami akan bawa korang untuk imbas semula cerita terpaling viral yang berlaku sepanjang tahun ni. Macam tak percaya je semua benda ni jadi dalam masa setahun!
1. Inspektor Sheila buat kecoh?
Sekitar bulan Jun lalu, seorang pegawai polis yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ telah tular beberapa kali selepas videonya memarahi orang awam dan anggota bawahannya tersebar di media sosial.
Ekoran dari ini, pegawai polis tersebut telah ditahan dan digantung tugasan serta didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret.
Terdahulu, tular mengenai pegawai polis wanita memarahi dan memalukan seorang pegawai polis berpangkat rendah yang sedang menjalankan tugas di medan selera Taman Sri Gombak.
Kemudian, tular pula rakaman kejadian pegawai wanita terbabit bergaduh mulut dengan orang awam akibat perebutan tapak parkir di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Walaupun telah ditahan untuk bantu siasatan, tular sekali lagi rakaman Inspektor Sheila yang memperlekehkan anggota bawahan di balai polis.
Tak cukup dengan itu, Inspektor Sheila juga sempat mencipta kontroversi lain apabila dia cuba mencari jodoh di media sosial serta turut bergandingan dengan usahawan, Iqbal Zulkefli.
Artikel berkaitan: Timbulkan Kegusaran Awam Dengan Menjerit & Bunyikan Hon, Inspektor Sheila Didakwa Lagi
2. Kes penceraian Syamsul Yusof & Puteri Sarah
Awal Januari lalu, Syamsul Yusof membuat pengakuan bahawa dia telah pun berkahwin dengan Ira Kazar atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin di Thailand. Pengumuman ini jelasnya telah mengecewakan isteri pertama pengarah ini pada ketika itu, Puteri Sarah Liyana yang kemudiannya telah membuat keputusan untuk menuntut penceraian.
Kontroversi di antara Syamsul, Puteri Sarah dan Ira kemudiannya berlanjutan selama proses penceraian dijalankan termasuk kenyataan ibu Syamsul Yusof yang beberapa kali mengeluarkan kenyataan menyokong Puteri Sarah serta mengkritik tindakan anaknya yang memilih untuk berkahwin sekali lagi.
Kemelut rumah tangga pasangan ini kemudiannya berakhir selepas mereka disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu selepas 9 tahun menjalinkan rumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.
Artikel berkaitan: “Baik Sarah atau Ira, dua-dua kekuatan saya” – Syamsul Yusof
3. Makcik Kemboja kutuk Melayu malas
Seorang ahli perniagaan Mariyah Yaakob atau dikenali seagai Mak Cik Kemboja dikecam teruk selepas mengeluarkan kenyataan mengatakan dirinya berketurunan Kemboja yang memang dikenali dengan kerajinan mereka kalau nak dibandingkan dengan orang Melayu yang malas.
Kenyataan berunsur hinaan ini jelasnya telah membuatkan rakyat Malaysia “panas hati” sehinggakan wanita ini telah membuat permohonan maaf dan turut didakwa di mahkamah selepas pihak polis menerima 14 laporan mengenai insiden ini yang dianggap telah menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu.
Artikel berkaitan: Keluarkan Kenyataan ‘Melayu Malas’, Mak Cik Kemboja & Anak Akan Didakwa Esok
4. Video perbualan lucah di antara Agus & Wahab tular
November lalu, satu video perbualan lucah di antara Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusof dan Penolong Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani telah tular di media sosial.
Ekoran ini, satu sidang media telah diadakan di mana Agus mengatakan bahawa dia telah menganggap Wahab seperti ananya sendiri dan telah membuat panggilan video beberapa kali kepadanya bagi membincangkan urusan pekerjaan serta berbual santai.
Tak cukup dengan itu, Wahab juga mendakwa video tersebut telah disunting oleh seorang individu berpengaruh di J-Kom yang dikenali sebagai Mr. H.
Namun begitu, pada awal bulan Disembar, Wahab telah membuat laporan polis mengatakan bahawa Agus telah menyerangnya secara seksual pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel yang terletak di Bintulu, Sarawak
Wahab turut mengatakan tindakannya untuk membuat laporan ini juga adalah bertujuan untuk membersihkan namanya dari isu rakaman video perbualan lucah yang tular sebelum ini.
Artikel berkaitan: “Ganti dialog lain yang tak diucapkan di rakaman asal adalah mustahil” – Namron Ulas Video Agus & Wahab
5. 6 sekeluarga maut selepas satu lori pasir terbabas
September lalu, satu kemalangan yang membabitkan lima kenderaan telah menyebabkan enam sekeluarga maut.
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan ini berpunca daripada sebuah lori pasir hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan empat kenderaan lain termasuk satu kenderaan Perodua Alza yang dinaiki oleh sebuah keluarga.
Akibat dari kemalangan ini, enam dari mereka iaitu Amir Ruddin Ismail, isterinya, Norahimah Noor Muhamad dan empat orang anaknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rudaifatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5 telah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala seorang lagi anak mereka Abdullah dan juga pemandu lori yang terlibat terselamat namun cedera parah dan telah di bawa ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Minta Nak Tengok Gambar Jenazah Ibu, Netizen Sebak Lihat Reaksi Mangsa Nahas Kemalangan 6 Beranak Menangis
7. Tragedi Jeram Mawar
Fenomena kepala air yang berlaku di Jeram Mawar, Kampung Air Puteh, Kemaman pada Julai lalu telah meragut nyawa sembilan sekeluarga dan seorang lelaki yang merupakan tunang kepada salah seorang mangsa.
Kejadian kepala air yang berlaku secara tiba-tiba dan paras air yang meningkat setinggi lima sehingga 10 meter secara mendadak ini merupakan punca kenapa kesemua mangsa tak sempat lari untuk menyelamatkan diri ketika bermandi-mandi di air terjun tersebut.
Tragedi Jeram Mawar ini juga turut dianggap sebagai fenomena kepala air paling dahsyat pernah berlaku di negara ini sehinggakan arus air yang deras turut didengari oleh penduduk yang tinggal jauh dari lokasi.
Artikel berkaitan: UPDATE : Tragedi Kepala Air Jeram Mawar, 9 Maut Manakala 1 Masih Hilang
8. Lelaki stalk jurufoto wanita jadi orang pertama didakwa bawah Akta anti-menghendap
Kes seorang jurufoto wanita, Acacia Diana yang diganggu oleh seorang lelaki secara maya sehingga mengancam keselamatannya selama 8 tahun telah tular di media sosial.
Ekoran ini, lelaki tersebut telah ditangkap sekali gus menjadi individu pertama yang didakwa di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah menghendap (stalking).
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan akaun Twitter @sopert99 telah secara berulang mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun Twitter @ShaFoShizzle.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di antara 1.40 pagi 15 Julai dan 5.58 petang 21 Julai lepas sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Tertuduh, Mohamad Safiq Rosli, 37, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Sasha Diana pada 19 Disember lalu.
Artikel berkaitan: Lelaki Pertama Didakwa Akta Anti-Menghendap Mengaku Bersalah ‘Stalk’ Jurufoto Wanita
9. Jam Swatch ‘LGBT’
Bulan Mei lepas, Kementerian Dalam Negeri telah menyerbu 11 pusat membeli belah di seluruh negara bagi merampas jam jenama Swatch bertema warna pelangi yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Kemudian pada 24 Jun, Swatch telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kerajaan Malaysia dengan menuntut ganti rugi serta meminta agar 172 jam berjumlah RM64,795 dipulangkan.
Selain itu, pada Ogos lalu kerajaan turut mengumumkan bahawa individu yang memiliki jam tangan Swatch bertema LGBT ini bakal berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali bagi menghentikan penyebaran unsur-unsur yang boleh memudaratkan moral, serta kepentingan orang ramai dan negara, dalam masyarakat.
Kementerian Dalam Negeri berkata kerajaan mengharamkan semua produk Swatch yang mengandungi elemen LGBTQ+ termasuk jam tangan, kotak, pembalut dan semua bahan lain yang berkaitan.
Artikel berkaitan: Sesiapa Miliki Jam Tangan Swatch ‘Pelangi’ Bakal Berdepan Penjara Atau Denda Sehingga RM20,000 – KDN