Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed daripada sabitan kes rogol terhadap seorang wanita pada 2019, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dikenakan sebelum ini.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati terdapat keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, termasuk mengambil kira kelewatan pengadu membuat laporan polis selama 441 hari selepas kejadian.
Menerusi penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim, Datuk Azman Abdullah, pihaknya berpendapat mahkamah terdahulu terkhilaf melampau dalam penilaian kes sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Menurut Azman, antara perkara yang diteliti ialah kelakuan pengadu sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk rekod komunikasi antara wanita terbabit dengan Da’i Syed menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram.
Artikel berkaitan: “Ajak check in masa isteri hamil” – Jurusolek Buat Pendedahan, Tergamam Bila Da’i Syed Mesej Bukan-bukan Kepadanya
Artikel berkaitan: Isteri Baru Lepas Bersalin 3 Bulan, Peguam Akan Fail Rayuan Tangguh Hukuman Da’i Syed
Dalam hujahan pembelaan, peguam Da’i Syed memaklumkan anak guamnya tidak pernah menafikan berlaku hubungan seks dengan pengadu, namun menegaskan perbuatan itu dilakukan atas kerelaan wanita berkenaan.
Malah, pihak pembelaan turut membangkitkan beberapa keadaan yang didakwa menunjukkan pengadu mempunyai peluang untuk meninggalkan lelaki itu atau mendapatkan bantuan.
Antaranya, ketika mereka dikatakan menghabiskan masa kira-kira tiga jam di sebuah restoran, selain pengadu didakwa tidak menghubungi rakan serumahnya ketika berada di ruang tamu rumah perayu selama kira-kira 30 minit.
“Pengadu tidak menunjukkan sebarang usaha melarikan diri, menjerit meminta bantuan atau mengalami kecederaan fizikal seperti lebam dan kesan kekasaran,” kata Hakim Azman.

Penghakiman lanjut turut menyatakan, pengadu memilih untuk bermalam di rumah perayu sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing selain rekod komunikasi antara September hingga Disember 2019 menunjukkan pengadu beberapa kali memulakan perbualan, mendapatkan perhatian perayu, memujinya dan mengajak lelaki itu berjumpa lagi.
Katanya lagi, laporan polis berhubung kejadian itu hanya dibuat pada 25 November 2020, iaitu 441 hari selepas kejadian yang didakwa berlaku di sebuah kondominium di I-City, Shah Alam.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah kelewatan tersebut sudah dijelaskan menerusi keterangan psikiatri, termasuk keadaan emosi pengadu yang mengalami trauma dan kesukaran memahami proses perundangan.
Hakim Azman menyatakan, mahkamah dalam penghakimannya turut meneliti keadaan kesihatan mental pengadu yang mempunyai sejarah mengalami kemurungan dan menerima rawatan psikiatri.
“Bagaimanapun, mahkamah berpendapat faktor kemurungan atau kenaifan pengadu tidak boleh secara automatik digunakan untuk menafikan kerelaan dalam hubungan seks,” katanya.
Beliau menambah, elemen utama kesalahan rogol adalah tanpa kerelaan mangsa dan memandangkan perbuatan persetubuhan diakui perayu, isu yang perlu dibuktikan pendakwaan melampaui keraguan munasabah ialah sama ada hubungan seks itu berlaku tanpa kerelaan pengadu.
Susulan keputusan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dan mengetepikan sabitan serta hukuman yang sebelum ini dijatuhkan Mahkamah Sesyen dan disahkan Mahkamah Tinggi.
Untuk rekod, Da’i Syed sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas disabitkan atas kesalahan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam sekitar jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Sumber: Berita Harian
