in

Kenapa Kos Pengebumian Agama Lain Mahal Daripada Orang Islam?

Featured LM 12

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Dalam dunia ni, tak ada siapa pun yang betul-betul bersedia untuk menghadapi kematian. Bukan saja dari segi emosi, tetapi urusan selepas kematian juga sebenarnya melibatkan banyak proses yang perlu diuruskan oleh keluarga.

Sebab korang tahu tak yang sebenarnya pengurusan pengebumian bagi setiap agama ni memerlukan kos yang besar?


Berbeza dengan agama Islam di mana komuniti Islam mempunyai khairat kematian yang boleh bantu untuk meringankan kos ini, tapi bagi agama lain, mereka biasanya perlu menyediakan jumlah wang yang banyak bagi persedian menguruskan jenazah mereka nanti.

Kalau korang curious kenapa, boleh teruskan baca artikel ini untuk fahami sebabnya.

Khairat kematian setiap agama tak sama 

Featured LM 11

Bagi orang beragama Islam, khairat kematian ialah sumbangan kewangan yang diberikan kepada waris si mati bagi meringankan beban pengurusan jenazah dan perbelanjaan berkaitan. Di Malaysia, amalan ini telah lama wujud dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam komuniti Islam.

Selain boleh bantu dari segi kewangan, khairat kematian juga memupuk semangat kebersamaan dan sokongan dalam komuniti antara satu sama lain.

Dana khairat ni juga biasanya dikumpulkan melalui sumbangan berkala daripada ahli atau pencarum yang tinggal di sesuatu kawasan. Bila berlakunya kematian, dana ini akan digunakan untuk menampung kos pengurusan jenazah, termasuklah perbelanjaan seperti mandi jenazah, kain kafan, solat jenazah dan pengebumian.

Selain meringankan beban kewangan, khairat kematian memastikan proses pengurusan jenazah dapat berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Ia memberi peluang kepada keluarga untuk memberikan penghormatan terakhir kepada si mati dengan sempurna dan tertib.

Bagi agama lain, bukanlah mereka tak ada khairat kematian tapi cara pengurusan dana itu sangatlah berbeza berbanding dengan orang Islam. Bagi agama lain seperti Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, kebanyakannya lebih bergantung pada dana simpanan mereka sendiri.

Sesetengah gereja atau persatuan kaum ada je yang menyediakan funeral support fund atau tabung untuk ahlinya sendiri, tapi sumbangan itu tidaklah selalu dibuat seperti orang Islam, menjadikan tabung dana itu tidak cukup untuk merangkumi semua kos pengebumian.

Disebabkan dananya terhad, kebanyakan orang beragama lain perlu membuat tabung simpanan kematian mereka awal-awal demi memudahkan urusan kematian mereka nanti.

Kos tanah perkuburan 

kubur cina

Negara kita juga sedang berdepan dengan kawasan tanah kubur yang semakin terhad. Dengan ruang yang terbatas, permintaan untuk tanah kubur yang mudah diakses atau strategik terus meningkat menyebabkan sesetengah kawasan terpaksa memperkenalkan kubur bertingkat sebagai solusi yang terbaik.

Sebenarnya, kos tanah kubur di Malaysia tidak ada harga yang tetap tapi bergantung pada lokasi, jenis tanah perkuburan iaitu sama ada awam atau persendirian serta caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bagi orang Islam, majoriti tanah perkuburan adalah tanah wakaf. Jadi, orang Islam diperlukan untuk membayar urusan pengebumian sahaja dan inilah bezanya dengan agama lain dimana mereka perlu bayar tanah kubur mereka.

feng shui
Papan Feng Shui Sebagai Panduan

Tanah perkuburan bagi kaum Cina biasanya mengikut lokasi tertentu kerana kepercayaan terhadap feng shui. Feng shui adalah amalan menyusun benda untuk mencapai keseimbangan dan keberkatan dalam hidup dan ia sangat mempengaruhi pemilihan lokasi persemadian, tempat tinggal dan perancangan pertanian. Bagi mereka, memilih lokasi kubur mengikut prinsip feng shui ini dipercayai boleh membawa keberkatan, kekayaan dan kesihatan kepada keluarga si mati.

Namun seiring dengan zaman moden, prinsip feng shui untuk kubur semakin divariasikan. Faktor-faktor seperti kubur yang mendapat cahaya matahari yang mencukupi, tidak berada di kawasan curam atau tepi gunung inilah yang akan menyebabkan tanah kubur kaum Cina mahal kerana bukan semua kawasan boleh memenuhi keperluang feng shui yang ketat.

nirvana
Perkuburan Nirvana

Lokasi yang strategik, luas yang sesuai dan persekitaran yang memenuhi kriteria feng shui menyebabkan harganya lebih tinggi berbanding tanah kubur biasa. Menurut laman rasmi Nirvana, tanah kubur untuk seorang boleh bermula dengan harga RM20,000 bagi pakej yang paling murah. Manakala bagi mereka yang mencari tanah kubur yang mempunyai ciri-ciri feng shui, harga tanah kubur itu boleh mencecah sehingga RM300,000.

Bagi agama Hindu pula, mereka biasanya mengiku tradisi kuil iaitu kebanyakannya menjalani proses cremation. Tapi ada juga yang tanam jenazah di tanah perkuburan kaum mereka dan kosnya agak stabil kalau dibandingkan dengan kaum Cina.

Kos pengurusan pengebumian 

pengurusan pengebumian

Dalam agama Islam, kos pengebumian biasanya lebih rendah kerana jenazah hanya memerlukan mandian jenazah, kain kafan dan penggalian liang lahad. Disebabkan majoriti tanah perkuburan untuk orang Islam adalah tanah wakaf, maka keluarga hanya perlu menanggung kos pengurusan seperti pengusungan dan penyediaan kain kafan.

Kos ini bergantung kepada negeri atau kawasan masing-masing. Misalnya bagi negeri Seremban, caj pengebumian di tanah perkuburan Islam adalah sebanyak RM80 sahaja, manakala bagi orang bukan beragama Islam pula adalah sebanyak RM300.

chinese coffin

Apa yang membezakan agama Islam dengan agama lain adalah pembelian keranda. Pada tahun 2022, harga untuk sebuah keranda tradisional dikatakan sudah mencecah antara RM18,000 hingga RM28,000 kerana melibatkan banyak kerja tangan dalam proses pembuatan.

Keranda untuk pengebumian cara menanam dan keranda untuk pengebumian cara pembakaran juga adalah berbeza. Keranda yang digunakan untuk proses cremation dianggarkan bermula dengan RM500 sehingga RM2,000 dan ia juga bergantung pada saiz badan si mati.

Bagi agama Hindu, meskipun kebanyakan mereka melalui proses cremation, namun kos mereka terletak pada pembelian kayu api, penyediaan pyre, pakaian jenazah dan peralatan ritual. Selalunya proses ini juga boleh diuruskan oleh orang kuil dan kos purata cremation jenazah boleh bermula dari RM2,000 sehingga RM5,000 bergantung kepada servis daripada orang kuil, lokasi crematorium dan status kewangan sesebuah keluarga tersebut.

Proses selepas pengebumian 

Screenshot 2025 11 14 162344

Bagi agama Islam, selepas pengebumian, biasanya keluarga akan buat kenduri tahlil pada hari ke-3, ke-7, ke-40 dan yang ke-100 selepas kematian, bergantung kepada keluarga berikut.

Tujuannya adalah untuk mendoakan kepada yang sudah mati dan juga peluang kepada masyarakat sekeliling datang memberi sokongan moral dan kadang-kadang sumbangan untuk keluarga.

Kosnya pula biasanya bergantung pada kenduri berikut dan kebiasannya tidak terlalu tinggi sebab masakan yang dihidangkan kepada tetamu adalah masakan sendiri atau daripada masyarakat sekeliling.

joss paper
Pembuatan ‘Joss Paper’

Bagi tradisi agama Buddha, mereka juga menjalankan upacara memperingati pada si mati. Keluarga akan bawa makanan, bunga, lilin dan kadang-kadang joss paper untuk dihantar kepada si mati. Kos upacara ni pun boleh dikatakan agak tinggi sebab melibatkan pelbagai pembelian bunga, lilin dan kadang-kadang ada keluarga akan menjemput funeral band untuk menjalankan upacara kematian sekali.

Orang yang beragama Hindu juga tidak terkecuali di mana mereka juga akan melakukan upacara peringatan. Upacara ini selalunya akan dijalankan pada hari kedua selepas kematian dan mereka juga perlu untuk membayar kos seperti pengurusan upacara, bunga serta makanan untuk tetamu.

Namun, kos sebenar sangat bergantung kepada kemampuan keluarga. Kalau keluarga mampu, mereka mungkin sanggup untuk menanggung lebih.

Contohnya, ada sesetengah keluarga ingin menjemput sami tertentu dari kuil pilihan mereka atau menjalankan proses ritual tambahan. Jadi keadaan ini akan menyebabkan kos upacara boleh menjadi sangat tinggi yang kadang-kadang boleh cecah sampai RM10,000.

Apa pun agama atau kepercayaan, satu benda yang kita semua tak boleh nafikan ialah kematian datang dengan tanggungjawab dan kos yang perlu ditanggung oleh keluarga. Sebab tu penting untuk kita buat persediaan awal, sama ada melalui simpanan, khairat atau perancangan kewangan sendiri.

Mungkin benda ni nampak remeh dan jauh lagi, tapi bila hari tu tiba, persediaan kecil yang kita buat sekarang boleh jadi bantuan besar untuk orang yang kita tinggalkan nanti. Yang penting, kita kena pastikan urusan terakhir dapat dilakukan dengan penuh hormat, teratur dan ikut macam mana agama kita ajar.

Sumber: Malaysia Gazette, The Rakyat Post, MyNirvana 

Sumber: Nirvana Asia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.