Keluarga seorang lelaki berasal dari North Carolina yang maut selepas kereta yang dipandunya terjatuh daripada jambatan yang sudah roboh semasa mengikuti arah yang diberikan oleh aplikasi Google Maps bertindak untuk menyaman syarikat berkenaan atas kecuaian.
Ini kerana keluarga mangsa mendakwa syarikat gergasi yang mengeluarkan aplikasi navigasi tersebut telah diberitahu tentang runtuhan jambatan tersebut tetapi gagal untuk mengemaskini sistem navigasi mereka.
Mangsa, Philip Paxson, lemas pada 30 September 2022 selepas kenderaan jenis Jeep Gladiator miliknya terjunam di Snow Creek, sebuah jalan yang terletak di kawasan Hickory, North Calorina.
Menurut tuntutan saman yang difailkan baru-baru ini, Paxson sedang memandu ke rumah dari sambutan hari lahir anaknya dikatakan sedang melalui sebuah kawasan yang jarang dia lalui sebelum aplikasi Google Map mengarahkannya untuk merentasi jambatan yang sudah roboh dan tidak dibaiki sejak 9 tahun lalu.
Menurut anggota peronda negeri yang menemui mayat Paxson di dalam traknya yang terbalik dengan sebahagiannya tenggelam itu berkata, tiada penghalang atau tanda amaran di sepanjang jalan yang usang tersebut.
Tambahnya lagi, mangsa berkemungkinan telah memandu ke tepi kawasan yang tidak berpagar dan terjatuh 20 kaki ke bawah dan menurut Peronda Negeri Carolina Utara, jambatan itu tidak diselenggara oleh pegawai tempatan atau negeri selain syarikat pemaju asal telah ditamatkan perkhidmatan.
Artikel berkaitan : Kalau Korang Ada 7 Aplikasi Ni Dalam Phone, Korang Mungkin Sedang Diintip!
Artikel berkaitan : Peranti Android Boleh Digunakan Sebagai Dashcam Tak Lama Lagi
Tuntutan itu juga menamakan beberapa syarikat pengurusan harta swasta yang didakwanya bertanggungjawab ke atas jambatan dan tanah bersebelahan.
Dalam pada itu, beberapa orang telah memberitahu pihak Google Maps tentang keruntuhan jambatan tersebut sebelum insiden yang meragut nyawa Paxson dan meminta syarikat itu mengemaskini informasi tentang jalan tersebut.
Sesi perbicaraan yang diadakan pada Selasa lalu turut menyertakan rekod e-mel daripada penduduk Hickory yang telah menggunakan fungsi “saran dan edit” pada aplikasi peta tersebut untuk memberitahu syarikat Google yang aplikasi mereka meminta pemandu memandu merentasi jambatan yang sudah roboh.
Pengesahan e-mel pada November 2020 daripada Google mengesahkan syarikat itu ada menerima laporan tentang jambatan itu dan sedang menyemak cadangan perubahan, tetapi tuntutan mahkamah tersebut mendakwa Google tidak mengambil tindakan lanjut.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Google tentang tuntutan saman tersebut.
Sumber : The Independent