Jatuh cinta selepas menikmati hidangan capati di rumah keluarga perempuan, kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar akhirnya melangsungkan perkahwinan dengan gadis Malaysia, Illi Najwa Saddique semalam di India.
Menurut Harian Metro, Manpreet dan Illi telah menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun lalu.
Majlis resepsi perkahwinan pasangan tersebut telah diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab dengan meriah sekali.
Manpreet, 28, dilihat mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, manakala Illi Najwa pula dilihat jelita dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar.
https://www.facebook.com/watch/?v=1469554309903253
Majlis tersebut telah dihadiri oleh keluarga, saudara mara, pemain pasukan kebangsaan, pengurusan dan tetamu jemputan pengantin.
Mereka sepatutnya dijadualkan berkahwin pada April lalu dengan resepsi majlis diadakan di Ludhiana tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana penularan wabak COVID 19.
Dapatkan permohonan khas untuk ke kampung halaman Manpreet
Dalam pada itu, Illi Najwa, 27, juga katanya telah berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi dan seterusnya ke kampung halaman Manpreet demi melangsungkan perkahwinan tersebut.
Sumber dalaman Persekutuan Hoki Antarabangsa juga mengesahkan Illi Najwa berjaya membuat perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember lalu untuk bersama Manpreet.
“Ketika sekatan perjalanan antara India dan Malaysia kembali reda baru-baru ini, dia berjaya mendapatkan penerbangan ke New Delhi selepas mematuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan,” kata sumber.
“Tertarik dengan kecantikan dan tingkah laku sopan Illi” – Manpreet
Pasangan itu katanya pertama kali bertemu ketika Illi Najwa menyaksikan perlawanan di mana Manpreet menjadi ketika pasukan remaja India pada saingan Piala Sultan Johor 2012.
Mereka kemudian kerap berhubung apabila Manpreet kembali mengetuai pasukan kebangsaan India pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.
Manpreet tertarik dengan kecantikan dan tingkah laku sopan Illi Najwa, ketika dia menikmati hidangan capati di rumah keluarga wanita itu pada tarikh kedua mereka bertemu.”
Pasangan itu pada awalnya merancang majlis perkahwinan mereka pada 30 Disember serentak sambutan hari lahir Illi Najwa namun akhirnya memilih 2 Disember atau 02/12/20 apabila dihitung akan berakhir dengan tujuh serta membawa makna nombor jersi yang dipakai Manpreet.
Difahamkan juga, Illi Najwa berkerja di sebuah universiti swasta di Malaysia dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.
Ibunya Masita, pernah bermain hoki mewakili Angkatan Tentera Malaysia.
Manakala Manpreet pula dilantik menjadi kapten India sejak Mei 2017 dan pernah dinamakan Pemain Remaja Terbaik Asia pada 2014.
Selamat Pengantin Baru!
Baca: [Video] Pemuda Pasrah Dipaksa Kahwin Dengan Pilihan Keluarga, Tapi Tak Sangka Rupanya Awek Sendiri