Pelawak, Jep Sepahtu, berkongsi beberapa foto resit pembayaran zakat selama beberapa tahun menerusi Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri bin Zainal Abidin menjelaskan bahawa perkongsian resit berkenaan bukanlah bertujuan untuk bermegah-megah, sebaliknya sebagai bukti bagi menyokong apa yang diperkatakannya.
Artikel berkaitan : Gara-gara Promosikan Vape Dalam Podcast, Shuib Didenda RM 10,000
Artikel berkaitan : “Sudah-sudahlah main sentimen persahabatan” – Jep Sepahtu Luah Rasa Muak, Bengang Sering Diburukkan
Berdasarkan resit yang dikongsikan, pembayaran zakat harta berjumlah RM25,000 itu dibuat pada 20 Jun 2016 bagi tahun 2016 menerusi Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Dalam masa sama, Jep turut menzahirkan rasa syukur atas rezeki yang diberikan Allah dan menegaskan bahawa dia juga berusaha berkongsi rezeki tersebut.

Perkongsian itu turut menyentuh tentang kepentingan membuktikan sesuatu kenyataan, malah Jep juga seolah-olah memberikan kata-kata sinis berkenaan dengan segelintir pihak yang ‘hanya tahu sembang’ di podcast.
Jep juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Astro atas peluang yang diberikan menerusi program Sepahtu Reunion & Sinar sepanjang tempoh 2015 hingga 2025.
“Resit ini untuk dibuktikan bukan dibanggakan. Kalau sembang semua orang boleh sembang. Lagi-lagi sekarang zaman podcast, modal air liur je lah.”
“Alhamdulillah rezeki yang Allah titipkan pada aku dengan izin Allah aku turut berkongsi. Mana mungkin hak orang pula aku nak ambil. Terima kasih Astro untuk Sepahtu Reunion & Sinar (2015-2025),” tulisnya.
Sebelum ini, Jep ada membuat perkongsian rasa bengang terhadap bekas rakan seperjuangan dari kumpulan Sepahtu iaitu Shuib berkenaan dengan kerap menggunakan sentimen persahabatan sebagai kandungan.
Dalam hantaran itu, Jep ada melampirkan gambar mesej perbualan daripada aplikasi WhatsApp miliknya yang menunjukkan dirinya memohon maaf kepada Shuib tetapi tidak dibalas.
Sumber : Instagram
