Pelawak dan penyampai radio terkenal, Jep Sepahtu, akhirnya tampil membidas tindakan sesetengah pihak yang didakwa sengaja membangkitkan isu lama berkaitan pembahagian bayaran kumpulan demi kepentingan publisiti dan pemasaran.
Isu ini mula meletus selepas tular sebuah potongan klip video podcast yang memaparkan perbualan berkias mengenai pembahagian bayaran sebuah kumpulan lawak kononnya di “Alaska”.
Artikel berkaitan: Dakwa Tidak Dijemput, Jep Sepahtu Jawab Soalan Peminat Tentang Majlis Kahwin Shuib & Watie
Artikel berkaitan: “Misplaced sahaja” – Shuib Dedah Punca Kereta Kuning Hilang
Dalam klip berkenaan, individu dalam podcast tersebut mendakwa daripada bayaran RM50,000, seorang ahli mengambil RM40,000 manakala ahli selebihnya hanya dibahagikan RM10,000 walaupun komitmen yang diberikan adalah sama.
View this post on Instagram
Menjawab kenyataan berkenaan, Jep menerusi satu hantaran di laman sosial meluahkan rasa muak dan kesalnya terhadap naratif yang dipaparkan. Menurut Jep, dakwaan berhubung pembahagian bayaran kumpulan adalah tidak benar kerana sejak dari awal lagi urusan tawaran dan bayaran dipersetujui secara individu.
“Lagi satu Rahim ada tunjuk aku video podcast kau cakap pasal payment. Kita tak pernah deal payment untuk kumpulan. Dari dulu semuanya deal individu,” tegas Jep.
Jep turut mencabar pihak berkenaan agar berani menyebut namanya secara terang-terangan berbanding hanya berkias dan membiarkan netizen membuat andaian buruk.
“Kalau betul memang ada cerita pasal payment tu, gentle sebut la nama, senang sikit aku nak hantar LOD (Letter of Demand). Jangan berkias-kias kat podcast dan try hard buat orang bersangka buruk untuk benci aku,” tulisnya.
Bukan itu sahaja, Jep turut membongkar dakwaan isu tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) yang dipercayai melibatkan pihak terbabit. Beliau meminta individu berkenaan untuk menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum melemparkan tohmahan terhadap orang lain.
“Daripada kau duk buat fitnah tak sudah, lebih baik kau settle EPF orang yang kau dah potong tapi TAK BAYAR. Aku bukan jenis yang makan hak orang bro… Aku ingat jual air sale 150 juta dah boleh hidup tenang dah,” sindirnya lagi.
Mengakhiri hantarannya, Jep memohon agar diberi ruang dan keharmonian bersama keluarga tanpa perlu diheret dalam sebarang drama persahabatan mahupun strategi perniagaan.
Isu ini mencuri perhatian ramai netizen di media sosial yang rata-ratanya mendoakan agar kemelut antara mereka dapat diselesaikan secara matang tanpa saling menjatuhkan di platform terbuka.
Sumber: Instagram
