Dunia sukan tanah air hari ini diselimuti duka mendalam atas pemergian Tokoh Wanita dan Penaung Badminton Negara, Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali.
Khabar duka tersebut ternyata memberi tamparan hebat buat legenda badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei, yang mengakui terkedu dan amat bersedih sebaik sahaja menerima berita berkenaan.
Melalui satu hantaran penuh emosi di media sosial, Chong Wei meluahkan rasa terkejut dan mengimbau kembali perbualan terakhirnya bersama Allahyarhamah sewaktu kejohanan Terbuka Malaysia awal tahun ini.
Artikel berkaitan: “Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir” – Syed Saddiq Luah Rasa Sedih Pemergian Tun Dr Siti Hasmah
Artikel berkaitan: Tun Dr Siti Hasmah Dikebumikan Dengan Istiadat Pembesar Negara – PM Anwar Ibrahim
View this post on Instagram
“Pagi tadi bila dapat berita Tun Dr. Siti Hasmah dah tak ada, terduduk kaku saya dibuatnya. Hati rasa betul-betul sedih dan sebak. Terus teringat masa Malaysia Open awal tahun hari tu.
Bila berhubung dengan Tun, Tun semangat sangat kata nak datang stadium bagi sokongan pada pemain-pemain kita. Semangat dan cinta Tun pada badminton langsung tak pernah pudar. Tak sangka betul, itu rupanya kali terakhir kita berbual,” luahnya.
Bagi rakyat Malaysia, Allahyarhamah mungkin dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, namun bagi skuad badminton negara, kehadiran Tun Hasmah jauh melebihi gelaran tersebut. Beliau dianggap sebagai figura pahlawan, tempat menumpang kasih, dan penyatu pasukan.
Chong Wei turut berkongsi bagaimana kasih sayang Allahyarhamah sentiasa mengiringi perjalanan kerjayanya selama hampir dua dekad di pentas antarabangsa.
“Bagi orang luar, Tun adalah isteri bekas Perdana Menteri. Tapi bagi saya dan seluruh skuad badminton negara, Tun adalah seorang pahlawan, insan yang paling kami hormati dan tempat kami menumpang kasih.
Dalam tempoh hampir 20 tahun karier badminton saya, dari budak hingusan yang baru masuk skuad kebangsaan hinggalah bertanding di pentas dunia, Tun sentiasa ada. Kalah atau menang, sokongan dan kasih sayang Tun tak pernah putus,” luahnya.
Kenangan manis kejayaan Malaysia menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 juga sering menjadi bahan bualan hangat antara Allahyarhamah dan pemain-pemain senior. Setiap kali kisah bersejarah itu diimbau, air mata kegembiraan dan kebanggaan pasti bertakung di kelopak mata Allahyarhamah.
Menurut Chong Wei lagi, Allahyarhamah melayan setiap pemain seperti anak sendiri dan sering menjadi ‘pendamai’ dengan kelembutan serta kebijaksanaannya apabila berlaku sebarang perselisihan faham dalam skuad.
Mengakhiri luahannya, bekas pemain nombor satu dunia itu menegaskan bahawa senyuman dan kehangatan kasih sayang Tun Hasmah akan sentiasa hidup di dalam gelanggang badminton dan di hati seluruh rakyat Malaysia.
Sumber: Instagram
