Semuanya sudah sedia maklum, buat raya kali ini, kita masih tidak dapat lagi merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman bertemu ibu bapa atau datuk dan nenek yang sangat kita rindui.
Namun hasrat seorang gadis yang menghidap kanser otak tahap 3 dari Langkawi ini untuk pulang bertemu datuk dan neneknya di Pokok Sena sempena Aidilfitri akhirnya tertunai selepas dibantu oleh seorang jutawan.
Menurut Harian Metro, Noraifa Azira Abdul Aziz, 14, telah diterbangkan menggunakan helikopter ihsan Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim, semalam (2 Mei).
Noraifa telah diterbangkan dari SK Ulu Melaka, Langkawi sekitar jam 11 pagi dan tiba 40 minit kemudian di SK Bukit Hijau sebelum dibawa menaiki ambulans Briged Sukarelawan 1 Malaysia (BS1M) Sik dan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (YJM) ke rumah neneknya dekat Kampung Bukit Hijau, Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah.
Menurut ibunya, Roslina Aaswira Azmin, 38, anak sulung kepada 5 beradik itu telah terlantar sakit sejak tahun lalu lagi lepas doktor mengesahkan yang tiada lagi rawatan yang boleh sembuhkan penyakit anaknya itu.
Ketika Noraifa berusia 9 tahun iaitu pada 2013, terdapat tumor pada saraf tunjangnya dan doktor menjalankan pembedahan untuk membuang tumor di kepalanya.
“Namun, pada usia 11 tahun, kanser kembali menyerang dan doktor melakukan empat kali rawatan kimoterapi tetapi tiada sebarang perubahan dan tumor itu semakin membesar.
“Sejak tahun lalu dia mula terlantar dan akhir-akhir ini dia tidak berselera makan, sejak minggu lalu hampir setiap hari dia mengadu rindu kepada neneknya dan mahu balik beraya di kampung selepas tiga tahun tidak pulang kerana penyakitnya,” katanya.
Roslina pada masa yang sama berterima kasih dengan aktivis Muslim Care Malaysia, Natipah Abu yang menunaikan hasrat anaknya itu pulang ke kampung halaman.
“Terima kasih juga kepada Setiausaha Peribadi kepada Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Datuk Kamil Din yang menguruskan penerbangan ihsan ini, hanya Allah saja yang mampu membalas jasa baik mereka.
“Hari ini saya nampak Noraifa sedikit ceria selepas dapat jumpa datuknya Azmi Harun, 63, dan neneknya Siti Hawa Osman, 63,” katanya.
Noraifa meluahkan rasa gembiranya dapat bertemu datuk dan nenek walaupun dalam keadaan dirinya terlantar sakit.
Saya seronok hari ini akhirnya dapat balik rumah tok, terima kasih semua yang tolong saya hari ini,” katanya.
Kisah Noraifa sebelum ini viral di media sosial selepas Natipah meluahkan hasrat untuk membantu gadis itu menunaikan impiannya. Pada awalnya Natipah mahu menyewa bot laju namun keadaan Noraifa tidak mengizinkan, sebelum dia memohon khidmat bomba.
Dia kemudian mencari jalan untuk menyewa helikopter namun banyak pula yang tidak beroperasi kerana pandemik.
Akhirnya permintaan Noraifa dapat ditunaikan selepas Natipah menghubungi Datuk Kamil dan pihak mereka setuju menerbangkan gadis itu pulang ke kampung semalam.
Syukur alhamdulillah. Besar tu pahala berbuat baik kepada mereka yang memerlukan.