Baru-baru ini, kecoh mengenai sebuah kereta mewah jenama McLaren yang dipercayai milik Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai, suami kepada pelakon Fatin Afeefa tidak menggunakan nombor plat sebenar pada kenderaannya itu.
Malah, dia memaklumkan tidak menerima sebarang panggilan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung isu berkenaan walaupun telah dilaporkan mengenai kesalahan itu.
Susulan itu, pihak JPJ sekali lagi memaklumkan tindakan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain tetap menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan saman.
Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, pihaknya akan mengarahkan notis panggilan temu siasat dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan itu bagi membantu siasatan, lapor Utusan.
“Kita sudah buat semakan di aplikasi MySikap dan mendapati nombor pendaftaran McLaren itu tidak sama dengan pemiliknya di MySikap.
“Saman masih belum dikeluarkan dan semua ini masih dalam proses siasatan. Kita sudah keluarkan notis temu siasat kepada pemilik kereta tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Opai juga mendakwa hanya menggunakan nombor pendaftaran yang tular berkenaan untuk tujuan mengambil foto kenangan bersama isterinya dan tidak digunakan di atas jalan raya.
Namun, JPJ mengatakan itu merupakan satu kesalahan bagi pengguna jalan raya menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain.
“Dari segi ubah suai kenderaan pula, semuanya perlu melalui proses siasatan dahulu sebelum tindakan (saman) dilakukan,” katanya.
Ekoran kekecohan yang berlaku, pemilik sebenar McLaren tampil memberi penjelasan bahawa kenderaan itu sudah dibeli Opai namun mereka masih belum berkesempatan melakukan proses penukaran nama.
Baca: Pemilik Sebenar McLaren Tampil Beri Penjelasan, Rupanya Opai Dah Beli Kereta Itu Sejak Tahun Lalu