Sebanyak tujuh kenderaan mewah milik bukan warganegara disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi Operasi Luxury yang dilaksankan sejak awal tahun ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, sitaan itu membabitkan warga asing dari China, Pakistan dan Bangladesh serta seorang lelaki pemegang kad UNHCR.
Menurutnya, sepanjang tempoh sama, sebanyak 145 kenderaan mewah yang disita didapati melakukan pelbagai kesalahan menerusi operasi berkenaan.
Antara kenderaan mewah yang disita termasuklah BMW, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus dan BMW Limousine.
Artikel berkaitan: Dah Jadi Trend, JPJ Tak Pernah Luluskan Pemasangan Lampu ‘Albino’
Artikel berkaitan: Hasrat Nak Jual Lamborghini Tak Kesampaian, JPJ Dah Sita Dulu

Salah satunya, kereta mewah jenis BMW 7 Series yang dipandu seorang lelaki yang juga pemegang kad UNHCR.
Difahamkan, kenderaan yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an itu disita selepas cukai jalan didapati telah tamat tempoh.
Ketika ditahan minggu lalu, kenderaan berkenaan dihiasi dengan reben sebagai persiapan untuk digunakan dalam majlis perkahwinan.
Dalam operasi itu, antara kesalahan yang diberi perhatian termasuk kegagalan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan lesen memandu yang tidak sah atau tamat tempoh, selain pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ.
Sumber: Berita Harian
