
Sebuah jejantas berdekatan Pusat Membeli-belah Mid Valley dilaporkan runtuh sebentar tadi menyebabkan beberapa pekerja di tempat kejadian cedera.
Jejantas itu sedang dalam pembinaan untuk menghubungkan The Gardens dan KL Eco City. Laporan awal menyatakan 4 orang cedera disebabkan runtuhan itu.
Menurut Astro Awani, 3 mangsa dilaporkan kritikal manakala seorang mangsa mengalami kecederaan ringan.
Kejadian mengejutkan itu difahamkan berlaku lebih kurang jam 3.30pm hari ini dan dipercayai kesemua mangsa adalah pekerja pembinaan KL Eco City itu.

Jika dilihat pada gambar ini, jejantas dua tingkat itu runtuh dan menyebabkan laluan utama di bawahnya terhalang. Menurut portal berita tempatan, 23 anggota bomba daripada Pantai Dalam, Hang Tuah dan Seputeh dihantar ke tempat kejadian dan kini masih mencari mangsa di celah serpihan.


Ketua Bomba, Samsol Maarif Saibani berkata,
“Difahamkan, jejantas di dalam pembinaan itu runtuh dan menghempap beberapa pekerja. Berdasarkan laporan awal, 5 hingga 6 mangsa dijumpai setakat ini”.
“Bagaimanapun, buat masa sekarang, 3 mangsa disahkan berada dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi cedera ringan”.
Selepas pencarian lanjut, ahli bomba mengesahkan sekurang-kurangnya satu kematian selepas menemui mayat mangsa.

Siasatan masih dijalankan untuk mengesahkan punca runtuhan jejantas tersebut.
Tonton video di tempat kejadian ini: