Pereka fesyen tanah air, Melinda Looi sekali lagi mencuri tumpuan menerusi busana ikonik yang diinspirasikan daripada elemen gunung berapi buat penyanyi dan komposer, Aina Abdul pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.
Rekaan tersebut bukan sekadar mengutamakan fesyen, sebaliknya menggabungkan pelbagai bahan unik bagi menghasilkan imej yang menggambarkan lava, batu gunung berapi dan serpihan mineral yang bercahaya.
Guna 5kg arang sebenar, 6,000 elemen Swarovski
Menurut Melinda, busana dramatik itu menggabungkan pelbagai material dengan mempertaruhkan lima kilogram arang sebenar.

Katanya, idea menggunakan arang sebenar tercetus selepas pemenang Persembahan Terbaik AJL40 itu menyatakan hasrat untuk tampil sebagai sebuah gunung berapi.
“Apabila dia (Aina) memberitahu saya bahawa dia mahu menjadi sebuah gunung berapi, saya terus mencadangkan penggunaan arang sebenar, bukan plastik untuk menghasilkan penampilan tersebut.
“Saya turut menambah cat akrilik dan manik berwarna lava (lahar) bagi menggambarkan aliran lava yang menuruni gaun atau gunung berapi itu. Penghasilan kesan sebegini tidak sukar bagi saya dan pasukan kerana kami memang gemar mencipta sesuatu yang unik dan luar biasa,” katanya.
View this post on Instagram
Artikel berkaitan: AJL40 Raikan 4 Dekad Evolusi Muzik Malaysia, Iktiraf Faizal Tahir Dan Hael Husaini Sebagai Ikon
Artikel berkaitan: Aina Abdul Perlejas Maksud Tersirat Dalam Setiap Perincian Busana AJL 35 Dipakainya Semalam
Bukan sekadar unik, rekaan tersebut mengambil masa sehingga 1,000 jam untuk disiapkan. Malah, gaun tersebut turut dihiasi kira-kira 6,000 elemen Swarovski, 80 meter rumbai nilon dan 60 meter rumbai manik kaca, selain taburan manik serta sequin kaca dan akrilik.
Beliau yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam industri fesyen berkata, dia mahu busana tersebut kelihatan seolah-olah hidup dan bergerak ketika Aina membuat persembahan.
Katanya, gunung berapi menjadi simbol kepada emosi yang kuat iaitu sesuatu yang kelihatan tenang dari luar, namun sebenarnya menyimpan tenaga yang sedang membara di dalam.
Selain itu, rekaan tersebut membantu Aina menterjemahkan konsep gunung berapi menerusi peralihan visual daripada rona gelap dan misteri kepada elemen yang lebih bertenaga, bercahaya dan dramatik.
Sumber: Instagram, Sinar Harian
