in

Isu Sepanduk ‘Las Malvinas’: FIFA Siasat Bintang Argentina Selepas Menang Aksi Separuh Akhir

Syaz Ft 21

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Beberapa bintang utama skuad kebangsaan Argentina kini berdepan risiko digantung perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan tindakan mereka mempamerkan sepanduk kontroversi berkaitan isu tuntutan wilayah Kepulauan Falkland.

Insiden berkenaan berlaku sejurus Argentina menewaskan England 2-1 pada aksi separuh akhir Piala Dunia.


Ketika meraikan kejayaan mara ke pentas akhir, barisan pemain Argentina termasuk dua tonggak yang kini beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) telah merentangkan sepanduk bertulis ‘Las Malvinas son Argentinas’ (Kepulauan Malvinas adalah milik Argentina).

Artikel berkaitan: “It was written” – Pernah Dimandikan Ketika Bayi, Kini Messi Bakal Berentap Dengan Lamine Yamal Di Final World Cup!

Artikel berkaitan: “Kalau England yang buat” –  Ramai Terkedu Lihat Messi ‘Headlock’ Jude Bellingham

Antara pemain yang dilihat memegang sepanduk berkenaan adalah pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez, dan bintang Tottenham Hotspur, Cristian Romero.

Tindakan itu nyata mencetuskan kemarahan di United Kingdom (UK). Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, turut menyokong gesaan Setiausaha Perniagaan, Peter Kyle, supaya pihak FIFA menjalankan siasatan rasmi terhadap insiden tersebut.

Mengikut Peraturan Disiplin FIFA, sebarang mesej berunsur politik mahupun slogan provokatif adalah dilarang sama sekali sepanjang kejohanan rasmi.

FIFA Sahkan Siasatan Sedang Dijalankan

Jurucakap FIFA mengesahkan bahawa Jawatankuasa Disiplin Bebas badan induk itu kini sedang meneliti laporan perlawanan berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Mengikut prosedur standard, Jawatankuasa Disiplin Bebas FIFA sedang menilai laporan perlawanan dan mempertimbangkan keadaan berkaitan sebelum membuat keputusan berdasarkan Kod Disiplin FIFA,” katanya.

Perkembangan ini menimbulkan tanda tanya sama ada tindakan disiplin atau hukuman penggantungan sempat dikuatkuasakan sebelum aksi perlawanan akhir menentang Sepanyol.

Pendirian UK Kekal Teguh

Dalam pada itu, jurucakap Perdana Menteri Britain menegaskan bahawa pendirian kerajaan UK terhadap kedaulatan Kepulauan Falkland tidak pernah berubah.

“Piala Dunia mungkin bukan milik kita, tetapi Kepulauan Falkland sememangnya milik kita. Pendirian kami tidak berubah.

Sebarang tindakan lanjut adalah hak FIFA, namun kami sentiasa menegaskan bahawa politik sepatutnya diasingkan daripada bola sepak,” tegasnya.

Untuk rekod, isu tuntutan Kepulauan Falkland (atau dikenali sebagai Las Malvinas di Argentina) merupakan konflik sejarah yang amat sensitif sejak perang tentera antara kedua-dua negara pada tahun 1982, yang telah mengorbankan 907 nyawa.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.