Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mengambil tindakan tegas berikutan isu kebocoran data peribadi miliknya dengan menghantar Surat Tuntutan (Letter of Demand – LOD) kepada syarikat telekomunikasi Maxis.
Menerusi satu hantaran di platform media sosialnya, Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman meluahkan rasa terkilan dan kebimbangan terhadap tahap keselamatan data privasi pengguna yang dilihat begitu mudah diceroboh.
Artikel berkaitan: “Creepy…ini data peribadi saya” – Individu Didakwa ‘Leak’ Data Bil Telefon & Semak MyKasih Khairul Aming
Artikel berkaitan: “Kami memohon maaf” – Isu Data Bil Telefon Khairul Aming Diceroboh, Maxis Tampil Beri Penjelasan
View on Threads
“Peguam saya telah pun hantar LOD kepada Maxis. Peguam-peguam saya akan takeover case ni sehingga selesai.
Sejujurnya rasa sedih & seram sebab semudah tu je privacy hidup boleh hilang,” luahnya.
Bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan, beliau turut mengesahkan beberapa tindakan perundangan dan laporan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasa berkaitan.
Antara langkah yang telah diambil termasuk:
- Laporan Rasmi MCMC: Aduan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
- Laporan Polis: Laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan pihak polis membuka kertas siasatan ke atas pelaku.
- Laporan SPDP: Aduan berhubung kebocoran data peribadi turut dilaporkan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP).
Maklumat Sensitif Turut Terjejas
Mengulas lanjut mengenai impak pencerobohan berkenaan, Khairul Aming mendedahkan bahawa pelbagai butiran peribadi dan kewangan miliknya telah terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, kebocoran itu bukan sahaja melibatkan nombor telefon dan sejarah pembayaran, malah turut merangkumi maklumat sensitif lain.
“Details telefon, payment history, subscription, sampai ke no IC boleh akses MySara, semuanya bocor,” jelasnya lagi.
Isu kebocoran data berkenaan mendapat perhatian meluas daripada netizen yang turut menggesa pihak berkuasa dan syarikat telekomunikasi mengambil langkah lebih ketat bagi melindungi hak serta privasi pengguna di Malaysia.
Sumber: Threads
