in

MPT Sangkal Dakwaan 3 Gajah Malaysia Alami Tekanan Mental Di Jepun

Ft Gajah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Isu kebajikan tiga ekor gajah dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun sekali lagi menjadi bualan hangat netizen di media sosial.

Pelbagai spekulasi timbul berhubung keadaan mental dan fizikal haiwan berkenaan, termasuk dakwaan pergerakan kepala berulang (head swaying), gejala zoochosis, kerap mengalami fasa musth, serta dakwaan fizikal yang semakin kurus.


Artikel berkaitan : Gajah Liar Tular Di JRTB Curi Perhatian Ramai, Penduduk Teruja Menanti Perkembangan Sulong Chalil

Artikel berkaitan : “Enggan terima rumah baru” –  Kisah Gajah Sulong Tarik Perhatian Ramai, Dirakam Berjalan Sendirian Di Bahu Jalan

Dalam keadaan baik, aktif, sihat & boleh menyesuaikan diri di persekitaran baharu

Screenshot 2026 10 23 130518

Bagi menjawab dakwaan yang berlegar itu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) tampil menyangkal keras pembentukan naratif pengabaian atau penderaan tersebut.

Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan menegaskan bahawa berdasarkan laporan terkini daripada pihak zoo serta penilaian MPT sendiri, ketiga-tiga gajah berkenaan berada dalam keadaan yang baik, aktif, sihat dan telah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sejak tiba pada Mac lalu.

Mengulas mengenai pergerakan kepala berulang yang tular di media sosial, Mohamed Akmal menjelaskan bahawa perbuatan itu tidak boleh disimpulkan secara melulu sebagai petanda kemurungan atau kebajikan yang terjejas.

“MPT ingin menjelaskan sekali lagi bahawa tingkah laku itu tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan, kemurungan atau kebajikan haiwan yang terjejas.

“Head swaying yang berlaku juga tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan kerana ia juga indikator yang menunjukkan tingkah laku ‘food anticipation’, iaitu keadaan haiwan menjangkakan waktu pemberian makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Screenshot 2026 10 23 130542

Dalam masa yang sama, MPT turut menolak dakwaan liar berkenaan suntikan hormon yang didakwa diberikan kepada gajah jantan, Kelat untuk meningkatkan kekerapan episod musth.

Tegas Mohamed Akmal, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Kelat hanya melalui fasa berkenaan sebanyak dua kali sahaja sejak berada di Jepun, iaitu pada Mei dan September lalu.

Kekerapan fasa ini sebenarnya didorong oleh penerimaan makanan yang lengkap serta bergizi tinggi, di mana ia merupakan tingkah laku normal bagi gajah yang berada di bawah penjagaan zoo.

“Tidak dinafikan Kelat mengalami penurunan berat badan ketika dua kali fasa musth, namun ia normal seperti yang pernah diterangkan sebelum ini.”

“Berat badan Kelat ketika ini sudah meningkat menghampiri berat badan yang direkodkan sebelum fasa musth kedua pada September lalu,” katanya.

Menyentuh soal kebajikan harian, ketiga-tiga gajah tersebut telah diletakkan kembali bersama sejak 20 September lalu dan mempunyai akses bebas ke seluruh kawasan pameran serta kurungan malam.

Penjagaan pemakanan mereka juga dipantau rapi oleh pasukan veterinar dengan sajian diet seimbang seperti hay (rumput kering berkualiti), pucuk buluh, rumput segar, kubis, timun, pelbagai jenis pelet khas, kiub alfalfa, dedak gandum, lobak merah, keledek, roti, bahagian atas nanas, epal, serta campuran garam dan vitamin harian.

Hasil daripada pengurusan diet yang sempurna ini, rekod perkembangan berat badan ketiga-tiga gajah menunjukkan peningkatan ketara berbanding ketika mula-mula tiba di Jepun.

Kelat mencatatkan peningkatan sebanyak 580 kilogram (kg), Dara meningkat 575 kg, manakala Amoi pula menunjukkkan kenaikan 405 kg, sekali gus menjadi bukti kukuh tahap kesihatan haiwan berkenaan berada pada paras memuaskan.

Screenshot 2026 10 23 130653

Pihak Zoo Tennoji turut melaksanakan program pengayaan secara berkala menerusi pelbagai aktiviti dan kaedah pemberian makanan bagi menyokong kesejahteraan mental gajah, selain komited mematuhi piawaian amalan terbaik antarabangsa.

Mohamed Akmal mengakhiri kenyataan dengan menyatakan rasa hormat terhadap keprihatinan orang ramai, namun menggesa agar sebarang dakwaan disokong oleh maklumat yang dipercayai dan penilaian profesional bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan hubungan kerjasama serta usaha konservasi antarabangsa.

“MPT akan terus memantau kesihatan dan kebajikan gajah berkenaan serta menyalurkan perkembangan terkini bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.