Insiden tembakan di pusat beli-belah di Bangkok petang tadi telah mengejutkan dunia. Mujur, tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian mencemaskan itu.
Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang kebetulan berada di lokasi kejadian berkongsi detik cemas bersama pasukan keselamatannya ketika insiden berlaku.
Menurut hantaran Tunku Ismail di laman sosialnya, ketika kejadian berlaku beliau bersama isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam serta pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berada di lobi hotel berhampiran pusat membeli-belah itu.
Artikel berkaitan: Insiden Tembakan Di Bangkok: Sekurang-kurangnya 2 Maut & 5 Cedera, Tiada Rakyat Malaysia Terlibat
https://twitter.com/mixkanawat/status/1709151589489942691
Katanya, baginda melihat sendiri suasana gamat orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan.
“Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
“Saya membawa anak-anak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail masih terbayang sewaktu memberitahu anak-anaknya bahawa keadaan akan kembali tenang dan meminta mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.
Baginda bersama pasukan keselamatannya, berdiri di hadapan keluarga menjadi ‘perisai’ bagi melindungi mereka walau apa pun berlaku.
i was at siam paragon today and went to the mall beside which is siam centre and suddenly everyone started screaming and running it was so scary pic.twitter.com/pyQiXSkrXK
— pzey (@goldenchamsae) October 3, 2023
“Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.
“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut,” ujarnya.
Tambah Tunku Ismail, pasukan keselamatannya membawa mereka ke Kedutaan Malaysia dan pemandunya memberitahu bahawa kedudukan Kedutaan Singapura lebih dekat.
Katanya, baginda telah menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor dan kesemua mereka selamat mendapat perlindungan di kedutaan terbabit.
Difahamkan, TMJ yang merupakan pemilik JDT itu berada di Bangkok untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United.
Walaupun terlepas perlawanan berkenaan, TMJ meluahkan rasa syukur kerana keluarganya berasa dalam keadaan selamat.
“Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui,” katanya lagi.
Dalam kemaskini terbaharu, TMJ memaklumkan baginda sekeluarga telah selamat tiba di Johor.
Landed in Johor. Home sweet home. Alhamdulillah 🤲🏻💙♥️
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 3, 2023
Syukur semuanya selamat…
Sumber: X