Sudah seperti rutin tahunan, tentera udara Israel sekali lagi melakukan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza. Difahamkan, serangan ini menyasarkan tapak pejuang Hamas yang dikatakan berada di situ.
Serangan ini adalah serangan balas yang dibuat selepas roket dilepaskan dari kawasan Palestin ke arah wilayah Israel. Menurut sumber, tentera Israel mendakwa sebuah roket dilepaskan dari Gaza ke Israel pada petang semalam.
Serangan ke arah Israel itu difahamkan berlaku ketika salah satu kumpulan bersenjata yang lebih besar di Gaza, Jihad Islam bertindak balas ke atas pembunuhan dua pemimpin mereka oleh rejim Israel. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di bandar Jenin, Tebing Barat.
“Sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel, jet pejuang Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menyasarkan tapak pembuatan senjata milik pejuang Hamas.
“Sasarannya adalah tapak di mana majoriti roket organisasi di Semenanjung Gaza sedang dihasilkan.
“Pasukan Pertahanan Israel juga membedil terowong pejuang Hamas di selatan Semenanjung Gaza”, kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, sumber perubatan Palestin melaporkan serangan itu tidak menyebabkan apa-apa kecederaan. Juga, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 145 penduduk Palestin dan 26 penduduk Israel terkorban dalam keganasan di Israel dan Tebing Barat, pada tahun ini. Jumlah ini sekaligus menjadi jumlah tertinggi sejak 2015.
Kredit: Harian Metro
BACA: Wartawan Israel Dakwa Netizen Malaysia ‘Koyak’ Selepas Insiden Culik Warga Palestin