Mahkamah Majistret Telok Datok, Selangor telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM9,100 terhadap seorang lelaki yang tular mengejar anggota polis dengan pisau pemotong daging di sebuah kawasan restoran minggu lalu.
Tertuduh yang dikenali sebagai P Mahendran, 31 yang bekerja sebagai pemandu lori itu dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas 4 pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.
Artikel berkaitan: Kecoh! Lelaki Mengamuk Kejar Polis Sambil L*bas Pis*u Pemotong Daging
Artikel berkaitan: Pemandu Bas Riba Wanita Rupanya Suami Orang? Polis Kini Sedang Buru 2 Suspek
Didenda RM 9,100
Pihak mahkamah telah memerintahkan tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama 22 bulan jika hukuman tersebut gagal dibuat. Memetik laporan Sinar Harian, P Mahendran yang memakai pakaian seragam lokap berwarna ungu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan pinggan-mangkuk, meja makan dan peralatan di dalam kedai dengan niat menyebabkan kerugian dan kerosakan kepada pemiliknya, Tiew Siew Ban.
Pertuduhan tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah tehadap mangsa sama dan dituduh Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkam pertuduhan ketiga, dia didakwa dengan melakukan khianat dengan mencalarkan kereta jenis Honda Civic dengan menggunakan kayu rotan sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM3,700.
Dia dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan yang keempat pula, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas anggota polis, Koperal Mohamad Fazlan Azir dengan niat menghalang atau menakutkannya dari menjalankan tugas.
Jika sabut kesalahan mengikut bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai yang terletak di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang antara jam 3.15 hingga 3.30 petang pada 8 April lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid mencadangkan supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal yang merangkum beberapa faktor seperti kepentingan awam dan kesan kerosakan dialami oleh mangsa-mangsa.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd Muqri Mohd Khairi merayu supaya anak guamnya itu dikenakan denda yang ringan kerana Mahendran tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kejadian berlaku kerana timbul kekeliruan dan selisih faham mengenai pembayaran makanan.”
Sumber : Sinar Harian
