Sedih dan pilu menyelubungi hati apabila menerima berita mengenai sepasang suami isteri yang dilaporkan maut akibat kemalangan motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya, semalam (23 Julai 2019).
Muhammad Hamadi Zakaria dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini yang masing-masing berusia 31 tahun ini katanya dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum motosikal berkuasa tinggi mereka bergesel dengan 2 motosikal di hadapan menyebabkan mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan.
Tak dapat tunai janji hantar ibu dan ayah ke Kompleks Tabung Haji
Menurut Harian Metro, tragedi yang menimpa pasangan suami isteri ini amat meninggalkan kesan yang mendalam kepada kedua ibu bapa mereka kerana sepatutnya Muhammad Hamadi hari ini akan menghantar ibu dan ayahnya mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah.
Ketika ditemubual wartawan, ibu kepada Muhammad Hamadi, Halimah Mohd Isa nampak sugul dan suaminya pula, Zakaria Tajudian sesekali kelihatan mengesat air mata. Allahu dugaan…
“Terlalu sedih namun saya sekeluarga reda dengan kemalangan yang mengorbankan nyawa anak dan menantu.
“Saya dan isteri akan berangkat mengerjakan ibadah haji, hari ini dan kedua-dua mereka sudah merancang untuk menghantar kami ke Kompleks Tabung Haji (TH), namun takdir Allah SWT mengatasi segalanya,” kata Zakaria.
“Inilah dinamakan ketentuan”
Macam manapun, tragedi yang menimpa keluarga mereka ini Zakaria ambil sebagai ujian dan mereka perlu kuat dalam menghadapinya.
Inilah yang dinamakan ketentuan. Saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Jenazah kedua pasangan itu difahamkan telah dibawa ke Madrasah Hidayah, Seksyen 11, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, semalam.
Kedua-dua arwah meninggalkan dua orang anak perempuan iaitu Hana Safiyah, 6, dan Hani Safina, 2.
Al fatihah… semoga keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan berat ini.