in

Bario Jadi Pembuka Tirai Minggu Digital Kementerian Digital 2026, Usahawan & Pelajar Didedah Dengan Teknologi Digital

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 13

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kalau selama ini teknologi digital sering dikaitkan dengan kawasan bandar, kali ini masyarakat di Bario pula diberi peluang untuk merasai sendiri manfaat teknologi menerusi Program Bario Digital Outreach 2026.

Program yang berlangsung di Bario, Sarawak pada 25 September itu dianjurkan Kementerian Digital melalui Pejabat Kementerian Digital Wilayah Sarawak (KD Sarawak).


Menariknya, program ini menjadi pembuka tirai bagi Minggu Digital Kementerian Digital 2026 Zon Borneo sebelum diteruskan dengan siri jelajah di Zon Utara, Perak dan Zon Tengah, Kuala Lumpur.

Program berkenaan turut dilaksanakan menerusi kerjasama Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Kecil Bario, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta rakan industri, D Empire Global Ventures.

Fokus Keusahawanan, Pendidikan Dan Teknologi Digital Dalam Komuniti

Antara pengisian utama yang dijalankan ialah Bengkel Usahawan Digital yang melibatkan 33 pengusaha tempatan termasuk pengusaha inap desa, petani dan penenun kraf tangan.

Mereka dibimbing menggunakan platform e-dagang seperti Shopee, TikTok Shop dan Facebook Marketplace, selain didedahkan dengan teknik promosi menerusi platform global, fotografi produk menggunakan peranti pintar serta perkhidmatan pembayaran tanpa tunai.

Bukan itu sahaja, seramai 30 pelajar SK Bario turut diberi pendedahan menerusi Pembelajaran AI untuk Pelajar menggunakan platform MindAppz e-Tuition dengan sokongan teknologi AI seperti Gemini, NotebookLM dan Copilot.

Dalam masa sama, seramai 15 peserta daripada pelbagai lapisan generasi termasuk warga emas, penjawat awam dan belia menyertai aktiviti  Kembara & Pencarian Digital  yang menggunakan teknologi GPS, kod QR dan tugasan digital.

Program itu kemudiannya diteruskan dengan Malam Estetika Digital  yang menjadi kemuncak acara apabila kira-kira 200 penduduk tempatan bersama kepimpinan masyarakat Kelabit hadir.

Bertemakan “Digitalisasi Memperkasa, Kebudayaan Dipelihara”, acara itu turut menampilkan pelbagai persembahan seni dan kebudayaan tempatan.

Teknologi Digital Tak Seharusnya Hanya Untuk Masyarakat Bandar

Semasa merasmikan program berkenaan, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, pemilihan Bario sebagai lokasi pelaksanaan membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan transformasi digital bersifat inklusif serta dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, perbezaan geografi tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk rakyat menguasai ilmu digital, menikmati peluang ekonomi mahupun memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Menerusi pendekatan turun padang di bawah kerangka Malaysia MADANI, Kementerian Digital komited memastikan pembangunan teknologi digital dilaksanakan secara menyeluruh demi meningkatkan kualiti hidup dan taraf sosioekonomi rakyat di seluruh negara.”

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan program di Bario mencerminkan usaha berterusan Kementerian Digital untuk menterjemahkan agenda digital negara kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

“Secara keseluruhannya, program ini bertujuan merapatkan jurang digital serta memperluas akses, pengetahuan dan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat luar bandar, khususnya pelajar dan belia.

“Ia turut membantu pengusaha tempatan memperluas pasaran produk dan perkhidmatan secara dalam talian, selain memberi pendedahan awal kepada pelajar di kawasan pedalaman mengenai pembelajaran digital dan teknologi AI.

“Pada masa sama, penguasaan teknologi merentas generasi terus digalakkan tanpa membelakangkan identiti serta budaya tempatan.”

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.