Malaysia menyasarkan eksport halal meningkat kepada RM80 bilion menjelang 2030, dengan industri halal menyumbang 11 peratus kepada KDNK negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, eksport halal Malaysia telah mencapai RM68.52 bilion pada 2025.
Bagaimanapun, katanya, hanya 14.7 peratus syarikat yang mempunyai sijil halal merupakan pengeksport ketika ini.
“Syarikat bukan sahaja memerlukan pensijilan, tetapi turut memerlukan pengeluaran yang konsisten, pembungkusan sesuai, modal kerja, logistik yang boleh dipercayai serta pemahaman mengenai pasaran sasaran.”
MIHAS Jadi Platform Bawa Produk Halal Malaysia Ke Dunia

Ahmad Zahid berkata, MIHAS telah menunjukkan nilai dalam membuka peluang kepada perniagaan halal Malaysia untuk menembusi pasaran luar negara.
MIHAS@Dubai menjana jualan sebanyak RM2.2 bilion pada 2024, manakala MIHAS@Shanghai mencatatkan RM3.2 bilion pada 2025.
“Kita mesti terus membawa dunia ke Malaysia, pada masa sama membawa perniagaan halal Malaysia ke dunia.”
Beliau turut berkata, peluang dalam industri halal bukan hanya tertumpu kepada makanan, malah merangkumi sektor seperti farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, logistik dan pelancongan mesra Muslim.
Cadang Tubuh ASEAN Halal Council Pada 2027

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau telah mencadangkan supaya ASEAN Halal Council ditubuhkan dan dilancarkan di Malaysia pada September 2027.
Menurutnya, cadangan Malaysia–Indonesia Halal Council boleh menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih luas itu.
Kerjasama lebih rapat antara negara ASEAN dilihat dapat membantu mengenal pasti cara untuk memudahkan pengiktirafan, mengurangkan pertindihan prosedur dan menghubungkan perniagaan kepada rantaian bekalan serantau.
Beliau berkata kejayaan majlis itu perlu diukur melalui pengurangan halangan, akses pasaran yang lebih mudah serta lebih banyak syarikat yang dapat menjalankan perdagangan merentas sempadan.
Peluang Untuk Usahawan Desa, Wanita Dan Golongan Muda
Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid turut mahu peluang dalam industri halal sampai kepada perusahaan di kampung dan pekan kecil.
Katanya, sesebuah perniagaan mungkin bermula di bengkel kecil, namun potensinya tidak sepatutnya dinilai berdasarkan lokasinya.
Beliau turut menyambut baik inisiatif Women in Export (WiEX) pada MIHAS tahun ini yang boleh membantu perniagaan diterajui wanita membina rangkaian, pengetahuan dan keyakinan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, beliau mahu lebih banyak peluang dibuka kepada usahawan muda supaya idea dan produk mereka mendapat peluang yang adil untuk berjaya.
Ahmad Zahid berkata, pembiayaan, teknologi dan pembangunan bakat juga perlu bergerak seiring bagi memperkukuh industri halal negara.
“Bersama-sama, kita telah membina kepercayaan terhadap halal. Kini, marilah kita membina kemakmuran yang lebih besar melalui halal.”
Beliau kemudian merasmikan Global Halal Summit 2026 dan membuka tirai 22nd Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).
